Bekas timbalan perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berjumlah SGD4.24 (anggaran RM1=SGD3.06 juta) berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid, 66, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas semua pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Bagi semua pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa telah menerima rasuah berjumlah SGD4.24 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

“Disebabkan tertuduh sebelum ini pernah didakwa di mahkamah, pasportnya sudah berada dalam simpanan mahkamah,” katanya.

Peguam Kitson Foong, yang mewakili Ahmad Zahid tidak membantah dan bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

“Memang benar pasport tertuduh telah diserahkan kepada mahkamah sebelum ini,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu telah menetapkan 18 November hingga 22 November, 2 Disember hingga 6 Disember dan 9 Disember hingga 13 Disember untuk perbicaraan.- Bernama

Sumber gambar: bebasnews.my

Iklan