Ditengking, skrip dilempar ke muka dan ‘ditendang’ daripada sebuah projek filem. Itu nasib malang yang menimpa Priyanka Chopra.

Menurut isteri kepada Nick Jonas itu, dia terpaksa menahan malu di depan ramai orang ekoran dipandang sebelah mata oleh produser dan pengarah di Bollywood.

Malah insiden itu membuatkan bekas ratu cantik 2000 ini sedar, rupa semata-mata tidak boleh menjadi ‘tiket’ untuk bergelar seorang pelakon.

“Saya ditengking oleh pengarah. Dilemparkan skrip dan ditolak bulat-bulat dari sebuah penggambaran.

“Insiden itu membuatkan saya sedar, dengan hanya berwajah cantik tidak menjamin seseorang itu dengan mudah diterima menjadi pelakon,” katanya.

Priyanka, 37, mendedahkan perkara tersebut kepada sebuah majalah antarabangsa ketika menceritakan pengalaman pahit yang dilalui semasa di awal dia mula membina kerjaya.

Teguh berpengang pada pesanan bapanya, membuatkan Priyanka tidak berputus asa untuk terus berusaha gigih.

“Saya teringat kata-kata bapa, “semakin banyak kamu bercakap, semakin sedikit yang kamu dengarkan dan semakin sedikit kamu pelajari.

“Pesanan itu buat saya percaya diri. Saya belajar, dari sebuah kegagalan akan ada kejayaan,” ujarnya yang kini berstatus artis antarabangsa kelas A.

Iklan