Jalan dari Rembia menghubungkan Lendu, Alor Gajah, Melaka itu tidak sesibuk mana. Ia merupakan jalan dalam untuk ke Lebuh AMJ atau ke bandar Cheng.

Selain dipenuhi kebun getah dan ladang sawit di kiri kanan, terdapat juga beberapa buah kampung sekitar jalan tersebut.

Namun, sekiranya anda lalu pada malam hari, tolong berhati-hati! Jalan tersebut agak sunyi selain tidak banyak lampu jalan. Lebih menakutkan, khabarnya terdapat satu lokasi sekitar jalan tersebut agak keras.  Ada sesuatu yang suka ‘menyakat’ pengguna apabila melaluinya.

Seorang penduduk, Kamsiah yang tinggal di Kampung Lendu Dalam ada pengalamannya sendiri.

Kongsi Kamsiah, kejadian yang menimpanya berlaku sekitar bulan puasa tahun lalu. Sekitar pukul empat pagi pada bulan puasa tahun itu, dia sudah bangun untuk menyediakan makanan sahur buat mereka sekeluarga.

Namun semasa di dapur, selera hendak bersahur dengan masakan sendiri tiba-tiba ‘mati’. Mulutnya terasa hendak menjamah nasi lemak.

Oleh sebab itu, Kamsiah buat keputusan untuk ke pekan Rembia, yang jaraknya lebih kurang empat kilometer sahaja dari rumahnya.

Kamsiah tahu di situ ada sebuah kedai mamak yang beroperasi 24 jam dan menjual nasi lemak yang diinginkannya.

Disebabkan takut untuk keluar seorang diri,  Kamsiah bercadang mahu mengajak anaknya menemani dia ke kedai tersebut. Tapi niat tersebut dibatalkan apabila melihat anaknya sedang nyenyak tidur. Tidak sampai hati pula Kamsiah hendak mengganggu tidur anaknya itu.

Fikir Kamsiah, waktu itu bulan puasa. Orang selalu berkata, masa bulan puasa hantu, jin kena ikat.

“Buat apa aku nak takut. Mana ada hantu bulan puasa ni,” getus hati Kamsiah memujuk diri sendiri.

Sekiranya dia takut, alamatnya melepaslah Kamsiah hendak bersahur dengan nasi lemak.

Kamsiah capai kunci motosikal Honda EX5 miliknya. Dia kemudian menyarung tudung lalu terus keluar dari rumah. Selepas enjin motosikal dihidupkan, dia terus memecut laju menuju ke pekan Rembia.

Pagi itu, suasana agak menyeramkan. Cuaca awal pagi itu yang menyapa tubuh agak sejuk hingga membuatkan bulu roma mudah terpacak. Lebih menyeramkan, sejak menunggang motosikal, belum ada sebuah kenderaan lain berselisih dengannya. Hanya Kamsiah seorang di atas jalan tersebut.

Sedang memecut laju menuruni jalan yang sedikit berbukit yang mana kiri kanannya dipenuhi ladang sawit dan getah, tiba-tiba Kamsiah tergamam. Melalui cahaya lampu motosikal yang menyuluh, Kamsiah ternampak sesuatu di depannya.

Disebabkan keadaan agak berkabus dan lampu motosikalnya agak malap, Kamsiah tidak nampak objek tersebut dengan jelas.

Namun apabila semakin dekat, mata Kamsiah terbeliak. Serta merta bulu romanya meremang. Jantungnya berdenyut kencang seperti mahu gugur.

Jelas di matanya, melayang menerpa ke arahnya itu sehelai kain putih yang sangat besar. Pergerakan kain putih itu seolah-olah mahu menerkamnya yang sedang menunggang motosikal.

“Ya Allahhh!” tempik akibat terkejut.

Apabila semakin dekat, kain putih itu terbang semakin rendah. Kamsiah  terpaksa menundukkan kepala mengelak dari tersangkut atau terlanggar sebelum kain putih tadi melintasinya lalu ghaib berhampiran belukar di tepi jalan.

Kamsiah menunjukkan lokasi dia disakat lembaga berkain putih.

Waktu itu, tiada apa yang difikirkan Kamsiah kecuali HANTU! Minyak motosikal dipulas. Dia memecut laju. Kamsiah mahu segera sampai ke pekan Rumbia.

Dalam keadaan menggigil, dia cuba mengawal motosikalnya supaya tidak terbabas ke tepi jalan.

Sampai di kedai, Kamsiah menggigil ketakutan. Dadanya berdenyut kencang. Tubuhnya terasa seram sejuk. Kakinya terasa lembik. Dia cuba menarik nafas perlahan-lahan menenangkan hati.

Selepas membeli nasi lemak, Kamsiah terpaksa menunggu kenderaan lain melalui jalan tersebut sebelum dia mengekori dari belakang untuk pulang ke rumah. Kamsiah takut untuk balik seorang diri.

Keesokan harinya, kejadian disakat hantu itu Kamsiah ceritakan kepada kembarnya, Shamsiah yang berniaga di sebuah gerai yang terletak kurang satu kilometer dari lokasinya disakat.

Sebaik mendengar cerita kakaknya itu, Shamsiah pula semakin cuak. Risau juga dia dibuatnya.

Sebelum ini Shamsiah hanya dengar cerita orang semasa mereka makan di gerainya sahaja. Tidak sangka pula kali ini ahli keluarganya pula menjadi mangsa.

Selain cerita orang, Shamsiah juga ada pengalaman menakutkan yang menimpanya sekitar lapan bulan lalu. Tapi mujurlah makhluk itu tidak menjelmakan dirinya pada Shamsiah.

Kejadian itu berlaku sekitar pukul empat pagi. Awal pagi itu, Shamsiah sudah sampai di gerainya seperti biasa. Ini kerana Shamsiah perlu menyediakan bahan-bahan masakan untuk dia berniaga.

Sedang sibuk di dapur, telinga Shamsiah menangkap bunyi sesuatu. Shamsiah memasang telinga, cuba mengamati bunyi tersebut.

Hiiiiii! Huuuuuu!

Bunyinya seperti seseorang sedang menangis. Tapi anehnya bunyi tangisan tersebut begitu mendayu-dayu dan menyeramkan. Bila Shamsiah amati lagi, bunyi tangisan itu datangnya dari tepi tong sampah yang berada di seberang jalan besar berhadapan gerainya.

“Ada orang buang anak ke?” bisik Shamsiah tertanya-tanya.

Disebabkan takut, Shamsiah tidak pergi tengok. Shamsiah yakin tangisan bukan daripada manusia sebaliknya daripada makhluk halus yang mahu menyakatnya.

Hanya hampir menjelang azan Subuh , barulah tangisan menyeramkan tersebut berhenti.

“Saya juga disakat dengan bunyi tangisan” – Shamsiah

Kongsi Shamsiah lagi, kejadian aneh begitu bukanlah pertama kali didengarinya sepanjang berniaga di situ. Kejadian-kejadian aneh sebegini kerap berlaku sejak dahulu lagi. Ramai pengguna jalan atau penduduk kampung pernah mengalaminya.

Pernah Shamsiah dengar seorang penunggang motosikal terbabas akibat cuba mengelak seekor kucing hitam yang muncul secara tiba-tiba di lokasi yang sama kakaknya di sakat. Tapi mujurlah penunggang motosikal tersebut tidak mengalami kecederaan.

Selain itu, ada juga seorang anak muda kampung yang mengadu motosikalnya menjadi berat secara tiba-tiba apabila sampai di lokasi terbabit.

Cerita pemuda itu, dia terasa seolah-olah sedang membawa satu beban yang sangat berat di belakang motosikalnya. Namun selepas beberapa kilometer, motosikalnya elok seperti sedia kala.

“Terbaru ada seorang jiran kena sakat juga,” beritahu Shamsiah lalu menceritakan kejadian tersebut.

Kongsinya, pada malam tersebut, jirannya pulang dari kerja dengan memandu kereta. Ketika itu, baru sekitar pukul sembilan malam.

Sampai di lokasi yang mana kakaknya disakat kain putih, jirannya itu telah terlanggar seekor kucing yang muncul secara tiba-tiba di atas jalan.

Walaupun sedar terlanggar kucing tersebut, jirannya tidak berhenti sebaliknya terus memandu pulang ke rumahnya.

“Sampai di rumah baru dia tengok kereta. Rupanya akibat perlanggaran tersebut, plat kereta dia tercabut. Dekat mana tercicir pun dia tak tahu,” cerita Shamsiah.

Namun pada esok pagi semasa mahu ke tempat kerja, jirannya terkejut. Ada kejadian pelik yang berlaku kepadanya.

Semasa keluar rumah, jirannya tergamam apabila mendapati plat keretanya terletak elok di atas meja di luar rumah.

“Memang jiran saya pelik dengan kejadian tersebut. Siapa yang hantar plat keretanya itu pulang ke rumah? Sebab malam tu memang dia sahkan plat keretanya tercabut,” cerita Shamsiah.

Ujar Shamsiah lagi apabila mendengar semua cerita seram, kejadian aneh termasuk yang menimpa dia dan kakaknya sendiri,  Shamsiah yakin memang laluan itu ‘keras’.

Mungkin ada sesuatu yang selalu menyakat pengguna jalan di situ.

Kemungkinan juga makhluk itu sedang menunggu mangsa seterusnya. Jadi berhati-hatilah apabila melalui jalan tersebut sebelum anda menjadi mangsa seterusnya. – MHETV

Iklan