Neeta dan Patrick daripada kumpulan iAmNeeta tampil memperkenalkan single baharu mereka berjudul Ilusi.

Gara-gara wajahnya yang seiras orang Melayu, vokalis kumpulan iAmNeeta iaitu Neeta Manisha, 25, pernah dimarahi oleh tauke sebuah restoran kerana memesan hidangan makanan ketika umat Islam sedang berpuasa pada Ramadan.

Menceritakan lebih lanjut, Neeta memberitahu, bukannya sekali dua, bahkan dia kerap kali melalui pengalaman dimarahi oleh penjual makanan kerana makan pada bulan puasa.

“Sebenarnya, saya adalah kacukan Cina, India dan Siam, bukannya Melayu. Namun ramai yang tidak tahu mengenai hal ini.

“Sebab itulah setiap kali ketika bulan Ramadan, saya sering lalui pengalaman sebegini sehingga kadang-kadang timbul perasaan takut nak pesan makanan pada waktu siang di tempat awam,” cerita Neeta.

iAmNeeta

Pun begitu, Neeta tidak menganggap pengalaman ditempuhi itu memberi tekanan buatnya, malah bersyukur memiliki wajah kemelayuan.

“Dengan wajah sebegini, saya mempunyai kelebihan tersendiri dan lebih mudah untuk memasuki pasaran muzik tanah air yang majoritinya adalah Melayu.

“Sehingga ke hari ini, karya iAmNeeta diterima baik oleh peminat tempatan,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran klip video single terkini, Ilusi. – MHE TV

Iklan