Kes perceraian pelakon dan usahawan Fizo Omar dengan bekas isterinya, Mawar Karim semalam masih menjadi bualan ramai termasuklah dalam kalangan artis.

Ramai rakan artis memberikan kata-kata semangat melalui entri Instagram Fizo agar pelakon itu dan bekas isteri terus kuat berhadapan dengan dugaan hidup.

Status yang dimuat naik Fizo melalui entri Instagram miliknya mendapat reaksi ramai artis popular.

Dalam status itu, Fizo turut meluahkan perasaan di antaranya:

“Apa yang berlaku antara saya dan Mawar ini adalah dengan izinNya. Setelah pelbagai usaha dilakukan, kami bersepakat untuk berpisah dengan cara baik.

“Sesiapa yang berumahtangga mengharapkan kebahagiaan hingga ke akhir hayat, tapi perancangan Allah untuk kita adalah yang terbaik.

“Saya terima takdir ini dan percaya Allah tidak pernah zalim kepada hambaNya dan setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

“Kita sebagai manusia haruslah memandang ke arah hikmah yang positif dan jangan sesekali berburuk sangka kepada takdirNya,” tulisnya.

Sementara itu, beberapa rakan artis turut memberi komen balas terhadap status Fizo yang sungguh menyentuh hati itu.

All the best buat anda bertiga ya Fizo. Walaupun ditakdirkan anda tidak berjodoh, I’m so proud to see how classy you are handling things. Tak semestinya cerai itu bermakna harus saling membenci,” tulis Tiara Jacquelina.

“Allah uji pada hambaNya yang kuat kerana Dia lebih mengetahui saudara,” tulis pelakon popular, Sharnaaz Ahmad.

“Semoga yang baik-baik di masa hadapan. Amin Ya Rabb,” tulis Zulin Aziz.

Be strong brotha. Moga dipermudahkan segala urusan,” Along Cham.

“Allah bagi dugaan sebab dia saying kita. Semoga Allah permudahkan urusan you and Mawar,” tulis Ezlynn.

“Doa yang baik-baik buat kalian sekeluarga. Kami juga ada famili yang perlu kita jaga dan tak tau lagi macam mana pengakhirannya,” tulis Fakhrul UNIC.

Semalam, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, melafazkan cerai talak satu terhadap Mawar Abdul Karim, 30, pada pukul 10.55 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada 10 November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun. – MHE TV

Iklan