Syawal adalah hari kemenangan bagi umat Islam kerana berjaya menundukkan nafsu sepanjang Ramadan.

Tentu sekali sambutan Aidilfitri disambut girang seisi keluarga, teman kenalan, sanak saudara dan jiran tentangga.

Bagi yang berada nun jauh di perantauan, Syawal tidak dibiarkan berlalu sepi bahkan turut diraikan dengan cara tersendiri.

Dr. Nur Amalina Che Bakri, anak Malaysia yang tersenarai sebagai doktor pakar pelatih surgikal terbaik seluruh United Kingdom menjadi tumpuan ramai apabila berbesar hati menghulurkan tangan bagi membantu kes adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor.

Syawal kali ini Dr. Nur Amalina berkesempatan menyambut Aidilfitri bersama ibundanya, Sabariah Hassan serta kedua ibu bapa Ainul iaitu Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani Zaidi di kota London.

Menerusi Instagram miliknya, Dr. Nur Amalina turut berkongsi perkembangan kesihatan Ainul yang kini semakin baik dan bersedia menjalani rawatan selanjutnya.

“Meraikan 1 Syawal bersama Ainul dan kedua ibu bapanya. Bila anda berada jauh beribu batu dari rumah, orang yang tak dikenali pun sudah menjadi keluarga sendiri. Keadaan Ainul stabil, Alhamdulillah. Ainul, Safi dan Wani memang kuat!” kongsi Dr. Nur Amalina. – MHE TV

Iklan