Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, hari ini.

Menurut catatan dalam laman Facebook Sultan Ibrahim, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu menerima surat tauliah pelantikan dan melafaz sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, pada majlis yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, 9.30 pagi tadi.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan menantu Sultan Ibrahim Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Dr Sahruddin, 43, menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 April lepas.

Dr Sahruddin sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor. – BERNAMA

Gambar: Royal Press Office

Iklan