Paduan vokal dan tenaga vokalis Wings dan Bunkface menggamatkan Dewan Merdeka, PWTC malam tadi.

Berlangsung hebat dengan kehadiran 3,000 peminat, konsert Laksamana Metal Wings x Bunkface semalam hampir sahaja terbatal kerana kecederaan kaki yang dialami vokalis kumpulan rock itu, Datuk Awie.

Awie memberitahu dia sebenarnya mengalami kecederaan kaki beberapa hari sebelum konsert itu dan dimasukkan ke hospital tiga hari lepas.

Namun dek semangat serta rasa kasih terhadap peminat yang sudah membeli tiket, dia tetap berkeras meneruskan konsert dan tetap beraksi hebat di atas pentas.

“Dua hari saya terlantar di hospital. Saya tak bagitahu sesiapa. Tapi walau apa pun, konsert ini perlu diteruskan. Sakit macam mana pun. Alhamdulillah, Allah permudah urusan.

“Saya sudah cuba macam-macam rawatan cuma malas hendak cerita. Saya rasa ralat sedikit sebab tak puas melompat atas pentas,” selorohnya.

Awie ditemui usai konsert tersebut yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Awie menghiburkan peminat dengan seleksi lagu-lagu berhantu Wings.

Menyanyikan 14 buah lagu, Awie kekal dalam kehebatannya dan beraksi penuh tenaga tanpa menghiraukan kesakitan kakinya.

Mendendangkan lagu-lagu seperti Sejati, Sayap Ilusi, Opera Hidup dan Bujang Senang, rata-rata peminat puas dengan persembahan hebat daripada kumpuln rock ternama itu.

34 tahun memahat nama dalam industri cukup membuktikan pengaruh serta kehebatan kumpulan rock ini untuk berada dalam kelas tersendiri.

Kehebatan kumpulan rock legenda Wings membuatkan penonton cukup terhibur sepanjang konsert berlangsung.

Konsert tersebut dimulakan dengan persembahan kumpulan anak muda, Bunkface yang menyampaikan 10 buah lagu termasuk Revolusi dan dua lagu baharu, Setiap Malam Aku Bersamamu serta We’re Gonna Be Alright.

Dua kumpulan ini juga turut bergabung tenaga dan vokal dalam segmen battle di hujung konsert dengan menyampaikan lagu Peronda Jaket Biru bersama.- MHE TV

Foto: Amin Farij Hasan

Iklan