Hiburan Trending Tular Video

“Dulu ada duit, tapi takda rezeki nak ke Mekah…”

“Tolong doakan kawan-kawan kita yang sedang sakit, kembali sembuh. Dan awak juga, jaga kesihatan semasa di Tanah Suci. Gunakan peluang keemasan ini untuk berdoa kepada Allah SWT supaya kembali sihat semula dan dapat bekerja macam biasa,” itu nasihat Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave sewaktu melawat pelakon terkenal Ebby Yus, semalam.

DJ Dave mewakili Yayasan tersebut melawat Ebby Yus di kediamannya di pusat Bandar Kuala Lumpur semalam, beberapa jam sebelum pelakon dan pelawak terkenal itu berangkat mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah.

Ebby yang kekal ceria walaupun berada dalam keadaan kurang sihat berasa cukup terharu kerana rakan-rakan artis tidak pernah melupakan dirinya.

Malah, katanya sebelum ini dia memang sengaja merahsiakan penyakit daripada pengetahuan kawan-kawan kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Bagaimanapun apabila setelah lebih setahun, saya tidak boleh berahsia lagi, kawan-kawan bercerita juga.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk DJ Dave dan kawan-kawan yang lain kerana sudi melawat saya dan saya amat menghargainya,” katanya yang sedang menderita pelbagai penyakit kronik termasuk kencing manis dan masalah jantung.
Ebby berangkat ke Tanah Suci semalam, 28 Januari bersama seorang sahabatnya dan dijangka akan berada di Mekah dan Madinah selama hampir dua minggu.

Pemergiannya bagi mengerjakan ibadah tersebut dibiayai oleh seorang teman yang prihatin, yang dirahsikan identitinya.

“Saya berharap sepanjang di Tanah Suci, saya mampu menjalankan ibadah dengan baik dan kembali semula ke Malaysia dengan selamat.

” Terima kasih kepada seluruh peminat yang mendoakan kesembuhan saya, juga kepada rakan-rakan artis,” katanya.

Sementara itu, menurut DJ Dave, meskipun Ebby pernah membuat kenyataan tidak mengharapkan derma dan sumbangan daripada pihak lain, sebagai sebuah Yayasan yang menaungi kebajikan artis YKAT turut menyampaikan sumbangan yang diamanahkan.

YKAT juga sedang dalam usaha untuk membuat rundingan untuk bekerjasama dengan sebuah stesen televisyen bagi memberi peluang kepada artis yang uzur dan kurang berkemampuan untuk terlibat dalam program-program terbitan stesen TV tersebut.

“Saya sudah bawa cadangan itu kepada Menteri berkenaan dan sedang menunggu keputusan yang akan dibuat.

“Saya amat berharap melalui rancangan itu, kita boleh terus membantu artis-artis yang memerlukan kerana selama ini amat jarang sekali artis yang sudah tua dan uzur diberi peluang muncul dalam program TV. Kita ada cara untuk melakukannya,” katanya.- MHE TV

Ruang komen