Bekas model jelita yang pernah meraih pendapatan jutaan ringgit setahun pada 1980-an kini hidup merempat di kaki lima di bandar raya Barcelona, Sepanyol.

Wanita itu yang memulakan kerjaya sebagai model ketika berusia 20 tahun digelar ‘ratu’ oleh rakan model lain kerana pencapaian tingginya dalam industri fesyen.

Ketika kemuncak kerjaya, Nastasia Urbano, 57, pernah menghiasi muka depan majalah Vogue, sering menjadi model utama pertunjukan promosi fesyen bersama supermodel lain termasuk Linda Evangelista malah pernah menjadi model pewangi keluaran Yves Saint Lauren, Opium.

Nastasia Urbano digelar ‘ratu’ oleh rakan model ketika di zaman kegemilangannya dalam industri fesyen.

Saat kejatuhannya bermula selepas berkahwin dengan lelaki pisau cukur yang mengikis semua hartanya menyebabkan dia kini tinggal sehelai sepinggang.

“Satu-satunya perkara terbaik pernah berlaku dalam hidup sepanjang perkahwinan saya ialah dikurniakan tiga orang anak. Suami menghabiskan semua wang saya.

“Dalam tempoh dua hari kami berkenalan, dia sudah meminta saya membelikannya kereta BMW. Saya hanya seperti orang bodoh apabila terus memberi cek kepadanya kerana mabuk cinta,” katanya.

Kehidupannya semakin teruk apabila mengalami masalah kemurungan dan banyak kali dihalau keluar dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa dan kini dia menumpang di rumah rakan yang bersimpati. Jika tidak, gelandangan di kaki lima bank. – MHE TV

Ruang komen