SEKALI lagi ke tanah suci. Sebelum ini , pernah mengerjakan umrah setelah bernikah pada 2 Julai 2012 dengan Kapten Azhar Ghazali, 37.

Awal Mei tahun ini, dalam diam-diam ( tanpa publisiti) penyanyi rock Norzila Aminuddin atau Ella , awal 50an membawa puterinya Yang Az Zahra, berusia dua tahun itu mengikut suami buat umrah lagi.

Barangkali ada yang terkejut membaca cerita  Ella sudah punya anak. Terdahulu suaminya ( secara eksklusif ) mendedahkan dalam segmen Gincu Merah Huzz ,  dia dan isteri  sudah ada  anak dan merancang berkongsi gambar dan cerita mengenainya pada  sambutan  ulang tahun perkahwinan Julai nanti.

Lebih istimewa, untuk URTV Online kali ini, peminat-peminat dapat menatap gambar-gambar eksklusif, rombongan Ella bersama-sama suami dan anak di Mekah  yang  dikongsikan mutawif mereka iaitu  Datuk Radzi  Mansor (yang pernah berjinak jadi pelakon drama TV) pemilik- A & M Berkat Travel & Tours Sdn Bhd.

Inilah anak Ella dan Kapten Azhar, Yang Az Zahra. Kanan sekali Datuk Radzi Omar.

URTV  juga mendapat izin suami Ella untuk menyiarkan gambar-gambar ini,  ketika berbual dengannnya  sekembali dari Mekah.

“Kami berangkat pada 4 Mei, masuk  ke Madinah dulu dan kemudian barulah, ke  Mekah. Alhamdulillah,  ini  kali kedua saya bersama isteri buat umrah. Kali pertama dulu waktu memilih untuk berbulan madu  dan buat umrah . Kali ini, kami  ke sana lagi dengan membawa sama anak juga pembantu rumah.

“Syukur, kami dapat buat umrah sebanyak dua kali. Selain bertawaf dalam umrah kami buat tawaf-tawaf sunat . Selain berjalan kaki bertawaf mengelilingi Kaabah , kali ini ada juga pengalaman  bertawaf   menaiki skuter dengan anak. Di sana ada juga skuter disediakan dalam kawasan berbumbung Masjidil Haram untuk jemaah.

“Insya Allah tahun depan atau tiga tahun lagi, rancangannya nak mengerjakan rukun Islam ke lima ( haji)  pula,” cerita Kapten Azhar.

Mengerjakan umrah kali kedua, kali ini Azhar dan Ella bawa anak dan pembantu

“Pengalaman menyambut pertama kali sambut Ramadan di Mekah tentunya  indah. Kita dapat melihat bagaimana suasananya meriah. Waktu berbuka ramai orang yang kaya  berusaha  meraikan yang memerlukan  di kalangan tak berkemampuan, berbuka puasa selain sedekah jariah lain.

“Waktu berbuka, sama-sama makan roti, kurma dan minuman sebelum solat Maghrib. Sebelah makan, selepas Isyak dan Tarawih  ada yang nak makan lagi,  boleh meninjau restoran-restoran berdekatan kawasan  masjid  menyediakan  hidangan beriani ,”tambahnya.

“Rombongan kami balik pada   14 Mei baru-baru ini.  Sepanjang di sana semuanya berjalan baik,  bagaimamapun dalam dua  hari nak balik tu, diuji dengan  demam dan batuk,  alhamdulillah segala urusan ibadah  umrah  berjalan lancar,” cerita Kapten Azhar lagi.

Mengenai syarikat pilihan mereka  untuk pakej umrah , Kapten Azhar tak ada masalah dengan syarikat Datuk Radzi Omar yang pernah  menjadi pilihan rakan-rakan artis lain antaranya Datuk Chef Ismail Ahmad, Datin Rina Rahman, Noorkumalasari, Nora Danish, Norlia Ghani tak terkecuali kerabat raja dan VVIP ke tanah suci.

“Saya juga senang bekerjasama dengan mereka, sebagai mutawifnya saya cuba membuat yang terbaik,” ujar  Datuk Radzi yang turut  merakamkan gambar-gambar ini  yang dikongsikan dengan  URTV ini.

DOA

APAKAH doa yang dipanjatkan ketika di depan Kaabah?

“Selain mahu rumah tangga terus bahagia dan sukses, tak lupa doa untuk kaum keluarga, kawan-kawan dan tentunya negara, semoga aman damai terhindar daripada sebarang yang tak diingini,” kata Kapten Azhar.

Semua orang kena ingat, negara yang aman dapat menjamin keharmonian hidup penduduknya. Jadi janganlah ada yang cuba membangkitkan masalah perkauman dan sebagainya yang tidak baik.

KONSERT DI JEPUN

TERDAHULU  sebelum berangkat ke tanah suci awal April tahun ini Ella telah berjaya mementaskan konsert unplugged selama empat malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur dengan mendapat komen positif.

Ramai peminat,baik  dulu dan sekarang  memuji konsert itu kerana  vokal dan aksi penyanyinya cukup bertenaga selain  penuh dengan lagu-lagu popular.

Tidak hanya itu, malah telah disenaraikan salah sebuah konsert terbaik di situ sepanjang tahun ini apabila

Ramai melihat perubahan Ella dalam berkomunikasi dalam persembahan berbanding dulu. Kalau dulu sekitar zaman 80an Ella dianggap hebat menyanyi,  konsert kali ini menyaksikan peningkatan mutu kerja lebih baik.

Dalam wawancara dengan Kapten Azhar selepas konsert Ella di Istana Budaya,  suami yang  berbakat bermain muzik dan menyanyi ini berkata, “ “Selepas kahwin, saya sering  mengajak Ella meredah kampung, mendaki bukit dan gunung , menyertai program motivasi, barangkali pendedahan begini membuatkan dia lebih berkeyakinan dalam berkomunikasi.

“Pencapaiannya dalam konsert selain bakat tentu usahanya yang gigih dan saya  akan sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Alhamdulillah sesudah konsert di Istana Budaya, September nanti kami akan ke Kota Kinabalu dan akhir tahun di Singapura pula untuk jadual konsert Ella,” kata Kapten yang melihat bakat dan kesungguhan Ella bekerja makin maju.

Kapten Azhar juga mahu konsert Ella dapat dibawa ke Jepun. Jom layan wawancara video  URTV dengan Kapten Azhar Ghazali  selepas kejayaan konsert Ella April tahun ini.

Semoga Ratu Rock Negara kita ini terus sukses dan maju, jangankan dalam karier tapi juga rumah tangganya. – URTV

Iklan