Enam tahun bekerja keras, mengadakan persembahan dan konsert tanpa henti, akhirnya BTS diberikan cuti.

Pada Ahad lalu, agensi Big Hit Entertainment mengumumkan kumpulan sensasi dunia itu buat pertama kali diberikan cuti rehat selama dua bulan mulai 12 Ogos (semalam).

Menurut agensi itu, cuti berkenaan sebagai tanda penghargaan atas kerja keras artis mereka yang tidak pernah berhenti dengan pelbagai aktiviti promosi, persembahan dan konsert sejak debut (kemuculan kali pertama) mereka pada tahun 2013.

Sebelum bercuti panjang, BTS yang dianggotai RM, Jin, Jimin, V, J-Hope, Suga dan Jungkook membuat persembahan terakhir mereka di Lotte Duty Free Family yang berlangsung 11 Ogos lalu.

“Tempoh rehat ini adalah untuk mengembalikan semula tenaga mereka supaya mereka boleh bersiap sedia dengan muzik yang baharu dan lebih segar.

“Selain itu, agensi mahu memastikan mereka juga menjalani kehidupan sama seperti anak-anak muda lain dalam usia 20-an ini,” kata Big Hit menerusi laman akaun Twitter.

Menurut agensi, setiap anggota dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing dan memanfaatkan masa bersama keluarga mereka atau memilih untuk pergi melancong bersendirian.

“Setiap anggota diizinkan melakukan apa yang mereka suka (sama ada pulang ke kampung atau pergi bercutri sendirian.

“Sepanjang tempoh mereka bercuti, agensi memohon kerjasama peminat agar tidak menganggu privasi mereka,” pesan agensi yang berharap BTS Army (gelaran peminat) tidak keterlaluan jika terserempak dengan BTS di mana-mana.

Sebaik saja ‘masuk kerja’ semula nanti, BTS dijadualkan akan mengadakan konsert jelajah di Stadium Antarabangsa King Fahd, di Riyadh, Arab Saudi buat julung kalinya pada 11 Oktober 2019.

Kemudian mereka sekali lagi akan mengadakan konsert jelajah Speak Yourself (The Final) di beberapa lokasi terpilih di Amerika Syarikat. – MHE TV

Iklan