Selepas tiga tahun kembali solo, penyanyi Ezlynn akui terasa sunyi tatkala tibanya musim lebaran.

Namun itu tidak bermakna Ezlynn mahu segera mencari teman pengganti. Hanya doa daripada peminat diharapkan semoga dirinya terus bahagia.

“Memanglah terasa sunyi kerana sekarang ini hidup sudah kembali solo. Namun sambutan hari raya lebih meriah apabila meraikannya bersama keluarga di kampung.

“Tidak adil jika saya mahu cari pengganti untuk dijadikan teman dan menggembirakan hati sendiri. Doakan sahaja yang terbaik buat saya,” jelas penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye ini.

Ezlynn atau nama penuhnya Azline Ariffin pulang berhari raya di rumah keluarga di Petaling Jaya. Bercerita tentang persiapan raya, tidak banyak yang perlu dirisaukan. Bagi Ezlynn dia lebih fokus anak-anak buah sahaja.

“Saya tidaklah teruja sangat nak beraya, sebab hari raya ni anak-anak kecil sahaja yang teruja. Jika ada anak sudah pasti raya lebih bermakna kerana kita akan teruja nak berbelanja untuk mereka.

“Jadi seperti tahun-tahun sebelum ini, saya hanya teruja nak beri duit raya pada anak-anak buah saya sahaja. Saya bagi mereka duit berdasarkan jumlah puasa mereka,” jelas Ezlynn. – MHE TV

Iklan