Penyanyi Ezlynn mendedahkan bekas suaminya iaitu Adam Fahmy masih belum menjelaskan hutang yang dipinjamnya ketika mereka masih berstatus suami isteri.

Menurut Ezlynn, wang tersebut merupakan simpanan hasil titik peluh bekerja selama 17 tahun dalam industri.

“Saya hanya minta wang yang dia pinjam dari saya. Duit itu adalah simpanan sendiri dan ia adalah hak saya.

“Kalau boleh saya nak ringankan beban dia di alam ‘sana’ nanti. Dalam Islam sesiapa yang berhutang dituntut untuk menjelaskan.

“Kenapa dia tidak mahu bayar hutang saya sedangkan mampu pergi melancong.

“Saya juga perlukan duit untuk menampung kehidupan sendiri. Selama ini saya berkahwin dengan ‘kaki kikis’ yang menghabiskan duit saya.

“Apabila berkahwin saya pula yang terpaksa menanggung hutangnya,” ujar Ezlynn ketika dihubungi MHE TV.

Selepas tempoh hampir dua tahun bercerai, Ezlynn masih turun naik mahkamah bagi menyelesaikan beberapa masalah berkaitan haknya.

“Dia mahu dakwa saya nusyuz kerana tidak mahu bayar nafkah. Dia ada juga minta selesaikan di luar mahkamah dan minta jual rumah kami sedang selama tiga tahun saya sendiri yang bayar rumah tersebut.

“Saya buat semua ini kerana mahu pertahankan hak saya. Dia dah bazirkan masa selama dua tahun dengan proses mahkamah,” cerita Ezlynn.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin berkahwin dengan Adam pada November 2011. Ezlynn kemudian menfailkan cerai dan mereka sah bercerai pada Oktober 2017. – MHE TV

Iklan