Bekas penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail bakal berhijrah ke United Kingdom (UK) September ini bagi menyambung pelajarannya ke peringkat sarjana di Universiti Cardiff.

Faizal yang akan membawa isteri dan anak-anaknya ke sana berkata, keputusan untuk berhijrah ini telah lama diambil memandangkan dirinya telah mencapai tahap yang membanggakan di tanah air sendiri.

Menurutnya, tiada apa lagi yang mahu dicapai dalam kemajuan diri di Malaysia.

Bahkan kemenangannya dalam merangkul beberapa anugerah sebelum ini membuatkan dia berpuas hati.

“Saya tak nampak ada apa-apa lagi harus dikejar di sini. Saya pernah popular sewaktu bersama radio, sudah berjaya menjadi pengacara bahkan sudah menang banyak anugerah besar sebelum ini.

“Tahap apa lagi yang saya nak buat untuk diri saya di sini?

“Jadi saya pilih untuk keluar negara bagi memajukan diri dalam pendidikan pula.

“Saya akan sambung ijazah sarjana dalam bidang kebudayaan dan industri kreatif dalam tempoh setahun.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya akan teruskan ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) pula,” katanya kepada MHE TV.

Menurut Faizal, segala urusan perniagaan di Malaysia termasuk program Dbilique yang diusahakan bersama teman rapatnya, Fara Fauzana akan diteruskan seperti biasa. – MHE TV.

Iklan