Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari selepas didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah jenis ganja THC, Januari tahun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham turut meletakkan pelakon itu bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Mahkamah membuat keputusan berkenaan pada hari pertama suami kepada pelakon, Datin Diana Danielle sepatutnya memberikan keterangan bela diri atas pertuduhan tersebut.

Farid Kamil sepatutnya memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi hari ini namun menukar pilihan untuk berdiam diri pada perbicaraan bela diri.

Mahkamah turut menolak permohonan peguam bela tertuduh, Megat Syazlee Mokhtarom untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman penjara itu.

Sehubungan itu, Farid Kamil akan dibawa ke Penjara Kajang umtuk menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Farid Kamil itu didapati telah menggunakan dadah jenis THC atau 11-nor-delta-9-etrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari lalu.

Pendakwaan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun. – UTUSAN ONLINE

 

Iklan