Satu festival makanan dan budaya tiga negara bakal diadakan di Kuala Lumpur pada November nanti. Pakistan Afghanistan Malaysia Food and Culture Festival (PAM FAC) bertujuan memperkenalkan kepada lebih ramai orang tentang keistimewaan tiga negara ini.

Festival ini merupakan anjuran Media House Entertainment (MHE) dengan kerjasama Pakistan-Afghanistan Malaysia Business Council (PAMBC). Dijangka penglibatan lebih 100 pengusaha tempatan termasuk warga Pakistan dan Afghanistan yang menetap di Malaysia.

Menurut Syed Saedullah Shah, Pengerusi PAMBC, Pakistan dan Afghanistan merupakan dua negara yang kaya dengan keunikan budaya dan tempat-tempat menarik. Syed juga berharap, stigma masyarakat seluruh dunia tentang pergolakan yang berlaku di dua negara ini akan berkurang dan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan industri pelancongan di sana.

Kerjasama MHE dan PAMBC buka potensi ekonomi dan diolomatik.

“Ramai yang melabelkan Pakistan dan Afghanistan sebagai negara yang sering berperang. Sedangkan mereka tidak tahu tentang keindahan tempat-tempat menarik di sana.

“Banyak perkara yang boleh diterokai jika melancong ke sana. Makanan yang sedap dan keunikan budaya tempatan antara tarikan yang sedia menanti pelancong seluruh dunia.

“Justeru dengan penganjuran acara sebegini diharapkan lebih ramai orang akan lebih terbuka dan merancang untuk menjejakkan kaki ke sana,” ujar Syed.

Perbincangan usahasama antara MHE dan PAMBC berlangsung di ibu pejabat MHE turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, Ketua Pegawai Operasi MHE, Zainal Rashid Ahmad serta Ketua Pengarang MHE, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Selain itu pihak MHE pula akan memainkan peranan penting dalam tindakan promosi acara dan juga kesinambungannya di masa akan datang. Festival ini juga secara tidak langsung akan membuka peluang dan kerjasama peniagaan yang lebih banyak antara ketiga-tiga negara.

Menurut Zaienal Abidin Omar, pihak MHE akan komited memberi liputan dan promosi terbaik untuk acara ini. Dalam masa sama akan terus bekerjasama di masa akan datang untuk pelbagai program melibatkan tiga negara ini.

“Kita mahu perkenalkan negara Pakistan dan Afghanistan kepada masyarakat Malaysia. Kami akan membawa anda mengembara menerusi liputan media dan perkongsian video menarik di platform MHE TV.

“Menerusi festival ini juga kami akan cuba mendapatkan kerjasama dari beberapa kementerian ketiga-tiga negara,” ujar beliau.

Sementara itu, Zainal Rashid Ahmad berkata ini merupakan potensi besar untuk membawa perusahaan kecil sederhana tiga negara ke mata dunia. Ia juga sebagai medium diplomatik dan ekonomi.

“Memandangkan aliran berita antarabangsa yang dikuasi Barat tidak memberi liputan mesra Islam dan keamanan awam di Pakistan dan Afghanistan, adalah satu kewajaran media Malaysia melihat potensi kerjasama tiga negara majoriti Islam ini.

“Mempromosi produk perusahaan kecil sederhana halal, juga mampu menawarkan potensi tinggi. Kombinasi tiga negara ini mencipta segmen kepada lebih 250 juta pengguna.

“Malaysia, Pakistan dan Afghanistan wajar melihat potensi pertukaran bahan berita dan industri halal sebagai medium diplomatik dan ekonomi,” jelas Zainal.

Iklan