Baru-baru ini tular video seekor monyet ditangkap dengan kaki dan tangannya diikat dan badannya di sembur dengan cat merah.

Dalam kejadian yang tidak diketahui lokasinya, sumber mendakwa monyet itu ditangkap kerana didapati mencuri buah durian.

Dalam video berkenaan juga, terdengar pemilik kebun memarahi haiwan itu tanpa henti. Mungkin kerana berang dengan perbuatan beruk itu yang merosakkan hasil kebunnya.

Namun penularan video itu telah menyebabkan netizen saling berperang mulut. Ini kerana ada yang menyelar tindakan pemilik kebun kerana dianggap menzalimi haiwan.

“Manusia yang paling bodoh dan bahlol di dunia ini, monyet tu mana tahu membeli dan tak tahu salah atau betul perbuatan dia,” tulis Abd Aziz.

Seorang lagi pengguna meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku berkenaan.

Reaksi netizen yang menyelar tindakan pemilik kebun nyata mendatangkan kemarahan kepada netizen lain.

Bagi mereka tindakan pemilik kebun itu lebih berperikemanusiaan kerana tidak membunuh haiwan berkenaan.

Selain itu, sesetengah netizen menganggap pihak yang hanya tahu menyelar tidak mengetahui bagaimana pekebun berjuang meneruskan kelangsungan hidup dengan mengharapkan hasil tanaman.

“Orang tak kena pandai lah cakap. Cuba letak diri awak tu tempat kami yang mengharap hasil kebun untuk hidup. Segala penat lelah kami, usaha kami habis macam tu jer. Haiwan tu bukan datang seekor dua tapi berpuluh ekor. Buah muda diluruhkan yang tua dirosakkan. Setiap musim jadi macam tu .Panggil Perhilitan pun tak jalan, ternakan dimusnahkan. Boleh ke kami bersabar?

“Siapa yang musnahkan habitatnya? Mana mereka? Kenapa kami petani kecil kampung jadi mangsa? Kira berperikemanusiaan juga lah sekadar dicat dan dilepaskan. Bukan dibunuh pun,” tulis pengguna Facebook, Kak Ram Anum yang mempertahankan tindakan pekebun berkenaan.

Seorang lagi pengguna Facebook, Malkan Moh turut bersetuju dan menganggap pihak yang mengecam tidak mengetahui susah payah pekebun mencari pendapatan.

“Jangan komen ala- ala baik dan warak konon simpati dengan binatang. Yang komen prihatin mari duduk dekat pinggir kebun. Baru tau. Takat makan gaji level middle class, pergi balik kerja tidur rutin seperti tu tak payah komen la. Meh dok Mentakab,” tulisnya.

Difahamkan, mewarnakan badan beruk merupakan salah satu petua untuk menghalau monyet tersebut daripada terus merosakkan hasil tanaman selain akan menakutkan kumpulan haiwan berkenaan. – MHE TV

Iklan