Persembahan istimewa kumpulan Generasi Harapan di Fiesta MED yang berlangsung di MITC, Melaka.

Hiburan sejati tidak hanya sekadar untuk tatapan mata dan halwa telinga semata-mata, tetapi memerlukan panduan dan pimpinan (untuk apa).

Itu adalah konsep dan pegangan Generasi Harapan yang menjadi sumber inspirasi serta pilihan terbaik sebagai hiburan untuk semua lapisan masyarakat.

Timbalan Pengarah GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Muhammad Humam Ashaari berkata, Generasi Harapan yang ditubuhkan pada 2010 adalah hasil cetusan buah fikiran kedua ibu bapanya sebagai salah satu aktiviti yang ada dalam sektor media syarikat mereka.

“Generasi Harapan aktif dengan aktiviti kebudayaan dan penyiaran televisyen. Malah kami mempunyai televisyen Internet sendiri dan mempunyai saluran televisyen di Thailand serta dipancarkan ke 114 buah negara di seluruh dunia.

“Apa yang menarik, setiap remaja di GISBH yang dilatih dalam bidang kebudayaan, kami gelarkan mereka sebagai Generasi Harapan.

“Kami mempunyai akademi dan studio sendiri bagi melatih mereka supaya lebih bersedia dalam memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di Fiesta MED 2019: Usahawan Wira Ekonomi yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Persembahan nyanyian yang diselang-selikan dengan teater muzikal berjaya mengunci mata pengunjung Fiesta MED yang membuka tirainya semalam.

Jelas Humam lagi, antara aktiviti yang dijalankan ialah bantuan dari segi khidmat sosial kepada masyarakat.

Selain itu, mereka sering membuat persembahan pentas sambil memberi kesedaran kepada generasi muda agar menjauhi kegiatan negatif sebaliknya melakukan kebaikan.

“Disebabkan itu, kebanyakan Generasi Harapan ini terdiri daripada golongan muda kerana lebih mudah untuk mengajak belia di luar sana melakukan kebaikan sambil berdakwah.

“Di samping itu, aktiviti seperti itu kami anggap sebagai latihan kepimpinan bagi Generasi Harapan belajar bagaimana untuk mengemudi (apa) dalam kelompok yang lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, Fiesta MED: Usahawan Wira Ekonomi yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam turut menyajikan pelbagai aktiviti seperti Karaoke Terbuka, Persembahan Band dan Gusti Lengan Mr. Melaka.

Malah, malam ini pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan artis-artis popular seperti Izzue Islam, Andi Bernadee, Fara Hezel dan ramai lagi.

Pengunjung juga boleh mengunjungi 300 reruai dan food truck yang turut menampilkan barisan artis dan selebriti popular seperti Rozita Che Wan, Lisdawati dan Datuk Seri Vida. – MHE TV

Iklan