Bekas bintang bola sepak dunia, David Beckham dilarang memandu dan lesennya digantung selama enam bulan selepas dia ditangkap menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Suami kepada personaliti dan ikon fesyen Victoria (Posh) itu, sebelum ini mengaku bersalah menggunakan peranti tersebut semasa memandu di Great Portland Street di London pada November tahun lalu.

Bekas kapten pasukan England ini telah hadir ke Mahkamah Bromley Magistrates, selatan London pada 9 Mei lalu untuk mendengar keputusan hakim mengenai hukuman yang dikenakan ke atasnya.

Hakim Catherine Moore menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati lesen Beckham sebelum ini sudah mempunyai enam mata daripada dua kesalahan yang dilakukan iaitu memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

Dia juga didenda sebanyak £750 (RM4,055) serta diperintahkan membayar kos dan yuran mahkamah sebanyak £175 (RM946) dalam tempoh tujuh hari.

Bekas pemain tengah pasukan Manchester United ini hadir ke Mahkamah Bromley Magistrates di ibu kota British pada 9 Mei lalu.

Pada 21 November tahun lalu sekitar pukul 1 petang, Beckham, 44, dikatakan memandu sebuah kenderaan jenis Bentley dengan had laju perlahan.

Seorang orang awam mendakwa melihat bapa kepada empat cahaya mata ini memandu sambil sebuah telefon bimbit berada dipangkuannya. Individu tersebut sempat merakamkan gambar Beckham dan ingin menjual gambar tersebut dengan harga £335 juta (RM1.8 billion)

Sementara itu, dua bulan sebelum bapa empat cahaya mata ini melakukan kesalahan, dia telah mengundang kebencian komuniti yang mengadakan kempen keselamatan jalan raya gara-gara dia mengelakkan diri daripada pendakwaan atas tuduhan memandu melebihi had laju. – MHE TV

Iklan