Skuad negara bangkit daripada ketinggalan dua jaringan sebelum mengikat Vietnam dengan keputusan 2-2 pada perlawanan akhir pertama Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pada aksi tersebut, Harimau Malaya lebih mengawal perlawanan dan hampir membuat penyokong negara gembira pada minit ke -13, menerusi hantaran silang menarik oleh Safawi Rashid namun berjaya dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh Doan Van Hau.

Serangan sekali sekala Vietnam dan kelekaan banteng pertahanan akhirnya telah dihukum Nguyen Huy Hung pada minit ke- 22 apabila berjaya meledak gol pembukaan menerusi serangan balas pantas.

Belum sempat pasukan negara memperkemaskan aksi akibat jaringan pertama, giliran Pham Duc Huy pula membuat para penyokong dan pemain Malaysia tergamam.

Pada minit ke-25, Pham Duc Hoy melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol negara, Farizal Marlias menjadikan kedudukan 2-0.

Tersentak dengan dua gol, skuad Harimau Malaya memperkemaskan jentera serangan. Hasilnya pemain pertahanan, Shahrul Saad berjaya merapatkan jurang apabila tandukannya menerjah gawang Vietnam selepas menerima hantaran Syamer Kutty Abba pada minit ke-36.

Kedudukan 2- 1 kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua corak permainan lebih rancak dipamerkan kedua-dua pasukan bagi mengubah kedudukan.

Akibat kealpaan jentera pertahanan negara, Vietnam hampir menjaringkan gol ketiga apabila penyerang gantian, Nguyen Tien Linh berjaya melakukan cubaan merbahaya tetapi berjaya dinafikan Farizal yang bertindak cemerlang

Penantian pemain paling bernilai (MVP) Liga Malaysia 2018, Safawi Rasid untuk mengakhiri kemarau jaringan pada kempen kali ini berakhir apabila meledak gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-60 dan keputusan 2-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi final kedua di Stadium My Dinh, Hanoi Sabtu ini.- MHE TV

Iklan