Harapan seorang remaja, David Aguilar mahu memiliki tangan kanan akhirnya menjadi kenyataan apabila dia berjaya mencipta bukan satu tetapi empat tangan gantian dengan pelbagai fungsi. 

Uniknya, pemuda berusia 19 tahun ini telah mencipta empat lengan prostetik robot berwarna-warni dengan menggunakan kepingan Lego selepas dia dilahirkan tanpa lengan kanan. 

Pemuda kreatif ini berasal dari Andorra, sebuah negara kecil terletak antara Sepanyol dan Perancis. Kecacatan yang dialami itu disebabkan faktor genetik yang jarang berlaku.

David Aguilar berasa seperti orang normal selepas berjaya mencipta tangan prostetiknya.

Aguilar mula mencipta lengan tiruan yang pertama daripada permainan kegemarannya itu ketika dia berusia sembilan tahun. 

Ketika itu lengan tersebut hanya mampu berfungsi secara asas. Namun lama-kelamaan inovasi ciptaannya semakin mempunyai keupayaan lebih banyak daripada yang sebelumnya.

“Sebagai seorang kanak-kanak, saya sangat gementar berada di hadapan orang lain, kerana saya berbeza. Tetapi itu tidak menghalang saya mempercayai impian saya.

“Saya mahu melihat diri saya di cermin seperti saya melihat orang lain, dengan dua tangan,” kata Aguilar, yang menggunakan lengan tiruannya hanya sekali-sekala.

Keempat lengan ciptaannya dipamerkan di dalam bilik di kediamannya di universiti terletak di Barcelona. Model terbaru yang dihasilkan dinamakan MK, berfungsi boleh menggenggam barang. Tambah istimewa, turut ditujukan tribute khas karakter superhero Iron Man.

David Aguilar berhasrat mahu membantu golongan yang senasib dengannya.

Menerusi video yang dimuat naik di YouTube yang bertajuk Hand Solo, Aguilar mahu membuktikan kepada umum tiada apa yang mustahil dan masalah kurang upaya tidak pernah menghalangnya untuk mencapai impian. 

“Saya akan cuba memberikan mereka (golongan orang kurang upaya) prostetik, walaupun secara percuma, untuk membuat mereka berasa sama seperti orang normal,” katanya yang mahu terus mencipta lebih banyak lagi prostetik untuk mereka yang memerlukan. – MHE TV

Ruang komen