Tindakan Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku sebagai salah seorang individu dalam rakaman video intim bersama seorang individu mirip Menteri Kabinet awal pagi semalam meruntun hati ahli keluarganya.

Malah, lokasi terkini Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama itu tidak diketahui sehingga ke hari ini, dedah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Susulan kontroversi video terbabit, ahli keluarga cuba menghubungi Haziq namun, tiada jawapan balas diterima.

“Saya difahamkan keluarga tiada komunikasi dengan beliau. Mereka tidak tahu Haziq berada di mana. Tentu keluarga beliau sedih dengan apa yang berlaku (dan) sebagai majikan saya minta pegawai menenangkan keadaan kerana kita semua sedia maklum family comes first,” ujarnya.

Malah, jelas Shamsul Iskandar, Haziq ada bertemunya pada Selasa atas urusan kerja. Namun, selepas itu beliau tidak menerima sebarang perkhabaran daripada pegawai kanannya meskipun, telah mengirimkan mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Haziq untuk bertemu dan berbincang di pejabatnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menafikan dakwaan Haziq dalam video pengakuannya hadir ke Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu atas urusan kerja ditambah pula tarikh tersebut jatuh pada hari rehat (Sabtu).- MHE TV

Iklan