Pengunduran Izzue Islam mengejutkan peminat Forteen.

BEKAS anggota Forteen, Izzue Islam, 28, mengakui dia sudah tidak mempunyai persefahaman dengan ahli-ahli yang lain, sekali gus menjadi faktor utama pengunduran dirinya daripada kumpulan vokal popular tersebut.

Tujuh tahun mengharungi onak duri bergelar anak seni bersama tiga lagi anggota iaitu Ameerais Azhar, One Ridzuan dan Ariz Lufias, pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan itu bagaimanapun enggan memperincikan permasalahan mereka.

“Sejujurnya, terutama sepanjang program Gegar Vaganza, hubungan saya dengan mereka bertiga tidak semesra dahulu.

“Namun jika ada sebarang urusan berkaitan kerja, saya hadapinya secara profesional atas dasar tanggungjawab,” dedah Izzue kepada MHE TV.

Memulakan karier dalam bidang lakonan, Izzue selesa melakukan dua kerja iaitu sebagai pelakon dan penyanyi.

Izzue berkata demikian semasa ditemui sebaik dia mengumumkan tentang penarikan dirinya daripada kumpulan yang terkenal dengan seleksi lagu hit seperti Berdua Bersatu, Seperti Dahulu, Ketika Ini dan Dekat Tapi Jauh.

Pengumuman mengejutkan itu dibuatnya ketika acara kemuncak Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang berlangsung di Wisma MBSA Shah Alam semalam.

Biarpun sudah tidak bersama, Izzue mahu melihat kejayaan Forteen berterusan.

Tonton video temu bual khas antara wartawan MHE TV dan Izzue untuk mendengar luahan penuh rasa penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu yang lebih awal memulakan kariernya sebagai pelakon. – MHE TV

Iklan