Cantik, bijak dan berbakat. Itulah pakej lengkap yang dimiliki Sharifah Husna Syed Feizal apabila dinobatkan sebagai juara Gadis Panca MyBeauty 2018.

Gadis yang berusia 25 tahun ini berjaya mengalahkan sembilan peserta lain dalam pertandingan akhir yang diadakan di Dewan Utusan Melayu, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Bakal doktor, Sharifah Husna berjaya mengalahkan 10 finalis dalam pencarian Gadis Panca MyBeauty 2018.

Husna membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi, pakej percutian ke Balkan tajaan Kembara Sufi Travel & Tour Sdn.Bhd dan kontrak lakonan dengan A.Aida Production Sdn.Bhd.

Manakala finalis yang berasal dari Kuala Terengganu, Sarah Mustafa diangkat sebagai naib juara dan Puteri A’teeqah Ayu Mohd Zaharee di tempat ketiga.

Majlis final Gadis Panca MyBeauty 2018 ini diacarakan Joey Daud manakala bakat 10 finalis dinilai barisan juri yang diketuai Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin (Ketua Pengarang MHE TV merangkap Pengarang Pancaindera), Datuk Wong Kong Choong (Pengarah MyBeauty), Datuk A.Aida (penerbit A.Aida Production), Datuk Fazley Yaakob (Chef Selebriti), Rita Rudaini (pelakon) dan Samantha Katija (Miss Universe Malaysia 2017).

Izzah Zinn yang memenangi kategori Best Designer.

Dalam masa yang sama juga, tiga peserta turut memenangi kategori khas iaitu Best Designer Gadis yang dimenangi oleh Izzah Zinn (rekaan baju Istana Putih), Sharifah Husna (Gadis Panca MHE TV Popular) dan Puteri A’teeqah Ayu (MyBeauty Tourism).

Pencarian Gadis Panca MyBeauty yang dianjurkan Pancaindera, akhbar sisipan popular Mingguan Malaysia bertujuan mencari bakat pelapis dan menyemarakkan industri hiburan tempatan.

Juara Gadis Panca MyBeauty 2018, Sharifah Husna (tengah) diapit Sarah Mustafa (kiri) dan Puteri A’teeqah Ayu.

Pada majlis yang meriah ini, selain dihiburkan dengan persembahan artis seperti Amelina, Syafiq Farhain dan Wany Hasrita, terdapat anugerah khas Pancaindera.

Reaksi Sarah Mustafa yang menang tempat kedua.

Anugerah khas Pancaindera Inspirasi diberikan kepada Wany Hasrita, manakala penerima anugerah Muka Hadapan Sensasi Pancaindera ialah Suffian Suhaimi dan Kilafairy menerima anugerah Artis Versatil Pancaindera.

MHE TV

Iklan