Pertama kali dalam sejarah, Stadium Wembley di London dipilih sebagai lokasi majlis iftar bersama komuniti bukan Islam pada 29 Mei ini.

Rancangan itu diumumkan oleh pemain bola sepak terkenal dan bekas Pemain Terbaik Afrika, Frederic Kanoute menerusi pesanan video yang dimuat naik dalam media sosial.

Beliau mengajak orang ramai datang menyertai majlis ini secara bersendirian atau bersama keluarga.

Majlis berbuka puasa itu sebahagian daripada program Ramadan Tent Project yang kini memasuki tahun keenam untuk menyebarkan pemahaman tentang puasa, Islam dan Ramadan kepada penduduk bukan Islam.

Sejak ia dianjurkan pada 2013, pelbagai bangsa dan agama dijemput untuk berbuka bersama-sama di lokasi terpilih pada setiap tahun.

Tahun sebelumnya, lokasi majlis berbuka puasa diadakan di Dataran Tavistock di Bloomsbury.

Penganjuran program ini turut disusuli ceramah yang disampaikan oleh tokoh jemputan.

Stadium Wembley merupakan gelanggang bagi pasukan bola sepak kebangsaan England. Ia juga pernah menjadi lokasi penganjuran Sukan Olimpik 1948 dan di sini jugalah England menjulang Piala Dunia pada 1966 selepas berjaya mengalahkan pasukan Jerman Barat 4-2.- MHE TV

Iklan