Sebelum digodam, Hafeez telah mengumpul seramai 476,000 pengikut di Instagram.

Bintang utama Ola Bola The Musical, Hafeez Mikail, 27, terkejut sementelah mengetahui kesemua akaun media sosial miliknya hilang dalam sekelip mata.

Hafeez atau Muhd. Hafiz Muhd. Zaki ketika dihubungi memberitahu, selain kehilangan akaun Instagram (IG) yang mempunyai kira-kira 476,000 pengikut, dia juga mendapati dua lagi akaun media sosial iaitu Facebook (FB) dan Twitter turut lesap.

“Saya mula sedar akan hal ini pada Selasa lalu setelah melihat gambar profil IG peribadi saya tiba-tiba kosong sedangkan tidak melakukan sebarang perubahan.

“Menyedari permasalahan tersebut, saya cuba memperbetulkan keadaan dengan menekan butang log-out dan log-in kembali.

“Bagaimanapun, cubaan untuk log-in semula gagal walaupun saya yakin, username dan password yang dimasukkan adalah betul,” ceritanya.

Selain Instagram, Hafeez juga kehilangan akaun Facebook, Twitter dan e-mel.

Sebaik usahanya yang berulang kali tidak mendatangkan hasil, Hafeez cuba untuk membuka akaun FB dan Twitter. Malang sekali, Hafeez tidak berjaya mendaftar masuk kesemua akaun tersebut.

“Selepas IG, FB dan Twitter tak boleh dibuka, saya cari alternatif lain iaitu menggunakan alamat e-mel pula.

“Namun nasib masih tidak menyebelahi saya sementelah akaun e-mel juga tidak boleh dibuka,” ulasnya dalam nada kecewa.

Pun begitu, Hafeez tidak berputus asa untuk mendapatkan kembali kesemua akaun media sosialnya terutama Instagram.

Menurutnya, dia baru sahaja mendaftar alamat e-mel yang baharu sebagai langkah awal bagi ‘menyelamatkan’ keadaan. – MHE TV

Iklan