Berita rumah tangga pasangan suami isteri, Ahn Jae Hyun dan Goo Hye Sun yang retak menanti belah menjadi topik perbualan hangat warganet sejak semalam.

Hye Sun mendakwa suaminya beria-ria mahu mengakhiri perkahwinan yang mereka bina sejak tiga tahun lalu.

Namun aktres berusia 34 tahun itu berkata dia masih mahu cuba mempertahankan bahtera dan kebahagian yang dinikmati selama ini.

Pada 18 Ogos lalu, Hye Sun mendedahkan Jae Hyun, 32, telah menfailkan cerai atas alasan dia sudah bosan dengan perkahwinan mereka.

“Suami saya yang sudah berubah fikiran mengenai pernikahan kami kerana dia ‘sudah bosan’ dan mahu bercerai.

“Tapi saya ingin mempertahankan kebahagian yang selama ini. Dia mengatakan akan menghubungi media minggu depan, tapi saya ingin semua orang tahu itu tidak akan menjadi kenyataan”, katanya.

Bagaimanapun hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya dihapuskan selepas beberapa jam kemudian.

Terbaharu, wanita itu memuat naik kenyataan menjelaskan dia dan Jae Hyun belum lagi menandatangani dokumen perceraian.

“Saya terburu-buru memuat naik hantaran kerana saya sangka kenyataan rasmi (dari pihak pengurusan) akan dikeluarkan segera.

“Kami masih dalam proses perceraian dan belum menandatangani apa-apa dokumen,” katanya.

Terdahulu, pasangan ini mencuri tumpuan selepas membintangi drama popular, Blood yang ditayangkan pada tahun 2015. Dalam drama tersebut mereka melakonkan watak sebagai pasangan kekasih.

Pada April 2016, mereka akhirnya mengaku cinta itu berterusan hingga ke luar set.

Sebulan kemudian, Hye Sun dan Jae Hyun mendaftarkan perkahwinan secara rasmi. – MHE TV

Iklan