Penyanyi Joy meminta maaf ekoran tindakannya lari meninggalkan pentas tatkala mendengar letupan bunga api semasa dia bersama anggota Red Velvet yang lain sedang rancak menari.

Insiden tersebut berlaku ketika kumpulan K-Pop tersebut mengadakan persembahan di Festival Iseul 2019 yang berlangsung di Gapyeong Pulau Jara, Korea baru-baru ini.

“Luvies (gelaran peminat), saya minta maaf kerana pergi meninggalkan pentas begitu saja. Pengalaman sebelum ini membuatkan saya trauma jadi letupan itu benar-benar mengejutkan.

“Saya sendiri tidak suka dengan tindakan tidak profesional ini pada saat-saat yang tidak dijangka. Saya akan berusaha mengatasi fobia ini dan akan perbaiki diri pada masa akan datang,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram.

Menerusi sebuah video yang tersebar di Internet, menunjukkan penyanyi berusia 22 tahun itu mulanya tenang menari namun tiba-tiba wajahnya berubah terkejut. Sambil menutup telinga dia berlari meninggalkan pentas.

Joy (Red Velvet)

Di tepi pentas, dia ditenangkan oleh kru pengurusan kemudian terus dibawa ke bahagian belakang. Persembahan Red Velvet ditamatkan serta-merta dan semua anggota turut beredar.

Suasana menjadi agak kecoh namun tetap kedengaran sorakan peminat yang melaungkan kata-kata semangat untuk Joy.

Sekitar tahun 2016, Joy nyaris pengsan ketika membuat persembahan kerana terkejut gara-gara prop bunga api di atas pentas tiba-tiba meletup dan mengeluarkan asap. Pengalaman tersebut membuatkan dia trauma sehingga sekarang. – MHE TV

Iklan