Sarah terbabit dalam drama Hero dan memegang watak sebagai seorang anggota bomba.

Pelakon berhijab semakin meningkat naik, Sarah Hildebrand, 29, yang terbabit dalam penggambaran drama Hero musim kedua berharap lakonannya dalam siri tersebut memberi impak terhadap karier lakonannya.

Pun begitu, Sarah atau Nur Sarah Marie Hildebrand meluahkan rasa kecewanya terhadap segelintir warganet yang melemparkan kata cacian dan makian gara-gara melakonkan satu babak dalam drama tersebut.

“Sama seperti musim pertama, Hero adalah drama bersiri genre aksi yang memaparkan kisah sepasukan anggota bomba dalam melaksanakan tugas mereka.

“Baru-baru ini saya ada berkongsi sekeping foto memegang seekor anjing yang turut terbabit dalam penggambaran siri berkenaan.

“Tak disangka, perkongsian tersebut mengundang kecaman daripada segelintir pengikut Instagram, sekali gus menimbulkan kontroversi,” jelasnya sewaktu dihubungi MHE TV.

Tindakan Sarah yang berkongsi sekeping foto memegang seekor anjing dikecam netizen.

Menurut Sarah, dia berasa ralat atas timbulnya isu sedemikian yang sepatutnya tidak perlu dihebohkan.

“Bagi saya, perkara ini tak perlu jadi isu pun. Islam itu mudah, cuma manusia saja suka merumitkan!” tempelaknya kepada sesiapa yang terasa.

Justeru Sarah menegaskan, foto yang dikongsi itu adalah sebahagian babak lakonannya dalam drama 26 episod yang dijadualkan siarannya pada hujung tahun ini.

“Perlu diingat, tugas anggota bomba bukan memadam kebakaran semata-mata, tetapi melibatkan banyak lagi tugasan lain yang kadang-kadang tak disedari oleh orang awam,” jelasnya. – MHE TV

Iklan