Selalu kita dengar isteri menjadi mangsa belasahan suami.

Lain pula kes di Lahad Datu apabila seorang suami menjadi mangsa belasahan isteri yang merupakan kaki judi dan penagih dadah.

Dalam kejadian pukul 10 malam di Kampung Panji, Sabtu lepas, mangsa berusia 38 tahun menegur sikap isterinya yang ketika itu sedang berlegar- legar dalam rumah mencari talian telefon bimbitnya kerana sedang bermain judi dalam talian.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, teguran si suami menyebabkan suspek 40 tahun berang dan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Apabila ditegur, isterinya marah dan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek kemudian keluar dari rumah dan masuk semula sambil membawa sebatang besi lalu bertindak memukul suaminya di bahagian muka dan badan sambil menjerit memarahi mangsa,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di kening, pipi serta dada dan dia membuat laporan polis semalam selepas menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Suspek kemudiannya ditangkap pada pukul 2 pagi dan ujian air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MHE TV

Iklan