Tular di media sosial, video berdurasi 3 minit 34 saat didakwa jenazah Imam Samudera masih utuh, tersenyum dan ibarat sedang tidur walaupun sudah 10 tahun dikebumikan apabila kuburnya digali semula bagi projek pelebaran jalan.

Imam samudera dijatuhi hukuman mati pada 2008 selepas menjadi dalang pengeboman kelab malam di Bali pada tahun 2002.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Indonesia, menafikan jenazah dalam video tersebut adalah Imam Samudera. Mereka menjelaskan, jenazah berbalut kain kafan dalam video itu ialah Yaser bin Thamrin, seorang tahanan di Pusat Tahanan Gunung Sindur yang meninggal dunia di Hospital Tangerang Selatan.

Yaser meninggal dunia di Hospital Tangerang Selatan pada 17 Julai 2018 semasa menerima rawatan di hospital setelah mengadu sakit perut, kurang selera makan dan muntah semasa berada dalam tahanan.

Jenazah Yaser kemudiannya dihantar pulang ke kampung halamannya di Bima untuk dikebumikan. Sebelum pengebumian, orang ramai merakam video dan foto Yaser yang tersenyum dan mengeluarkan keringat sebelum ianya tersebar.

Yaser ditangkap dan dipenjarakan apabila dituduh sebagai pengganas dari Kumpulan Jemaah Ansharut Tauhid (JAT) yang berpangkalan di Ambalawi Bima, terletak di bahagian Timur Pulau Sumbawa, Indonesia. – MHETV

Iklan