Selama 25 tahun menjalani hidup, Syafiq Farhain buat pertama kali merasai ‘menu esotik’ di sebuah kedai di negeri kelahirannya, Terengganu.

Menu yang dimaksudkan Syafiq ialah belalang goreng.

Mungkin bagi sesetengah orang berpendapat, makanan itu bukanlah pelik.

Tetapi bagi penyanyi yang popular dengan lagu Kamar Hati dan Demi Setia ini, itu makan esotik pertama yang pernah dirasai.

“Saya terkejut apabila diberitahu di kedai tersebut ada hidangan belalang goreng.

“Mula-mula rasa was-was, tapi saya beranikan diri memakannya. Ia boleh dimakan dengan nasi dan rasanya ranggup.

“Seumur hidup, itulah makanan esotik yang pernah saya cuba. Pertama kali dan terakhir,” katanya sambil tertawa tatkala mengenang kembali momen tersebut.

Syafiq melalui pengalaman itu ketika singgah di Kedai Nasi Berlauk Moksu Yah yang terletak di Kuala Besut.

Kedai tersebut merupakan salah satu lokasi program travelog yang dihoskan bertajuk, Apa Lagi, Terengganulah.

Dalam pada itu, Syafiq berkata dia seronok kerana bukan saja pengalaman malah banyak pengetahuan baharu diperolehi mengenai negeri kebanggaannya itu.

“Pertama kali mengacara, satu pengalaman baru bagi saya. Selain, dapat menimba banyak pengetahuan tentang kampung sendiri yang selama ini tidak pernah saya tahu.

“Rupanya banyak lagi lokasi dan khanazah menarik yang ada dan yang mungkin belum pernah diketahui masyarakat terutama mereka yang bukan anak jati Terengganu.

“Saya juga bangga kerana turut menyanyi lagu tema bertajuk, Pakat Mai Ganu khas untuk program tersebut,” tambahnya.

Antara lokasi lain yang diterokai Syafiq seperti di Warisan Pahlawan Resort yang terletak di Kuala Berang, Tasik Kenyir, Pulau Bidong, Marang dan Dungun.

Dia juga berkunjung ke Selatan Terengganu iaitu di Paka, Kijal dan Kemasik.

Sepanjang 13 episod, program terbitan RTM itu disiarkan setiap Selasa, pukul 3 petang di saluran TV Okey (Astro 109). – MHE TV

Iklan