Pelakon Jessica Iskandar atau Jedar tidak akan mengubah keputusannya untuk memilih kepulauan Bali sebagai destinasi penyatuan jiwanya dengan bakal suami, Richard Kyle pada tahun depan.

Biarpun mendapat tawaran penajaan lokasi yang lebih mewah daripada pihak dari Paris baru-baru ini, namun bintang filem terbitan Malaysia, Diva ini terpaksa menolak pada saat–saat akhir.

“Saya tetap mahu meneruskan rancangan untuk berkahwin di tepi pantai di Bali. Semuanya sudah dirancang, takkanlah nak batalkan begitu saja sedangkan sudahpun mendapat kata putus.

“Lagipun Paris itu jauh, terlalu banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuklah urusan jemputan, penginapan dan kos perjalanan ke sana. Jadi lupakan Paris, setia bersama Bali,” katanya kepada media Indonesia.

Tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat, Jedar yakin keputusannya itu untuk kebaikan bersama.

Lagipun, dia tidak mahu terburu-buru dalam melakukan satu perkara hingga menggangu perjalanan keseluruhan majlis hari besarnya nanti.

Jessica bertunang dengan Kyle di sebuah hotel mewah di Jakarta pada 16 Jun lalu selepas setahun menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon kelahiran Australia.

Bali menjadi destinasi pilihan pasangan ini kerana lokasi itu yang menemukan mereka ketika sama-sama melakukan aktiviti selam skuba. -MHE TV

Iklan