(Dari kiri) Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob pada Majlis Perasmian Penutup FIESTA MED 2019 di Melaka International Trade Centre (MITC).

Kejayaan penganjuran Fiesta MED 2019: Usahawan Wira Ekonomi yang berlangsung bermula Jumaat sehingga hari ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bakal diteruskan menjelajah ke seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, program seperti Fiesta MED merupakan mekanisme paling praktikal bagi membantu usahawan tempatan menjana ekonomi lebih tinggi.

Jelasnya, Malaysia kini menjadi negara contoh kepada rakan negara lain di atas usaha terus menerus memangkin pembangunan ekonomi khususnya dalam kalangan usahawan tempatan.

“Program ini telah dipraktikkan di beberapa buah negara khususnya yang sedang membangun bagi membantu usahawan produk tempatan menjana pendapatan.

“Kita boleh lihat bagaimana negara luar menjadikan Malaysia sebagai contoh dalam usaha menjana ekonomi ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketikan berucap di majlis Perasmian Penutup Fiesta MED: Usahawan Wira Ekonomi di sini hari ini.

Majlis gilang gemilang itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan berkata, usahawan tempatan tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian setakat ini dan sentiasa mengembangkan sayap perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Jangan berhenti di kedudukan selesa. Kita mahu wujudkan peluang pekerjaan daripada sektor perniagaan tempatan,” katanya.

Fiesta MED adalah anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dengan kerjasama Kumpulan Utusan, melalui anak syarikatnya, Media House Entertainment (MHE).

Dalam pada itu, Fiesta MED: Usahawan Wira Ekonomi yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat turut menyajikan pelbagai aktiviti seperti Karaoke Terbuka, Persembahan Band dan Gusti Lengan Mr. Melaka.

Pengunjung juga boleh mengunjungi 300 reruai dan food truck yang turut menampilkan barisan artis dan selebriti popular seperti Rozita Che Wan, Lisdawati dan Datuk Seri Vida. – MHE TV

Foto: Rohaida Zulkifli

Iklan