SEMAKIN hari semakin ramai yang memperkatakan tentang anak jelitawan Cindy Crowford ini. Kaia Jordan Gerber kini menjadi perhatian apabila gaya gadis itu dilihat persis supermodel ibunya.

Lebih-lebih lagi apabila dia menyarung pakaian lama milik Cindy pada sambutan hari jadinya ke-18 baru-baru ini. Baju tersebut pernah dipakai ibunya ketika menghadiri TV Video Music Awards pada 1992.

Kaia dilihat seolah-olah sedang menghidupkan stail ikonik ibunya walaupun dengan menyuntik elemen terkini menerusi penampilannya itu. But hitam, gaun pendek dengan dandanan rambut ala klasik itu nyata menarik perhatian ramai.

Hinggakan ada kalangan tetamu yang hadir merasakan Kaia adalah jelmaan Cindy yang sangat sempurna sifatnya satu masa dulu. Wajah dan percakapannya saling tidak tumpah dengan ibunya.

“Benarlah kata orang lama ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Gadis itu memang memiliki aura supermodel semula jadi sama seperti Cindy.

“Segala kecantikan dan ketulusan peribadi dimiliki sama seperti ibunya. Sikap merendah dirinya itu pasti akan memberi dirinya terkenal di seluruh dunia,” kata peminat setia Cindy.

Secara tidak langsung penerima anugerah Model Sepanjang Tahun untuk The Fashion Awards 2018 ini berjaya membuktikan apa yang diusahakan selama ini adalah kerana minat semata-mata.

Tanpa dibayangi populariti ibu, Kaia berdiri membina nama dengan caranya tersendiri. Caranya dengan menolak terus cerita sensasi dan gosip, gadis ini juga enggan bercinta pada usia muda.

Baginya, masa muda tidak perlu disia-siakan dengan perkara tidak berfaedah sebaliknya perlu mengejar impian agar menjadi kenyataan. Itu amalan yang digunapakai oleh dirinya dan terbukti pada hari ini.

Iklan