CIKGU bertubuh sasa, Jimmy Jejai, 24, yang baru menamatkan pengajian di menara gading tidak menjangka entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya semalam tular, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

Selain menerima komen positif daripada rakan-rakan, terdapat juga beberapa maklum balas yang mempertikaikan tindakan Jimmy atau pemilik nama sebenar Ahmad Muzaimi Abdul Bakhtiar itu.

“Tak dinafikan memang ada kata-kata berbaur negatif mempersoalkan niat saya berdasarkan entri tersebut termasuklah mendakwa saya sengaja menagih simpati dan populariti,” akuinya.

Terdahulu, Jimmy yang baru sahaja tamat pengajian setelah menghadiri majlis konvokesyen beberapa hari lalu bertindak berkongsi sekeping foto di pusara bapanya berserta kapsyen luahan rasa sedihnya apabila seorang insan dikasihi tiada di sisi bersama ahli keluarga lain menyaksikan momen paling istimewa dalam hidupnya itu.

Tambah guru lepasan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak itu, walaupun terkejut sebaik membaca komen sebegitu, dia akhirnya pasrah setelah mengenangkan niatnya adalah sekadar ingin meluahkan perasaan, selain berkongsi nilai murni.

“Saya cuma mahu mengingatkan agar setiap anak yang lahir di muka bumi ini lebih menghargai ibu bapa sementara hayat mereka masih ada.

“Manfaatkan setiap kesempatan diberikan untuk menggembirakan hati mereka ketika nyawa serta jasad kedua-duanya masih bersatu dan bernafas,” katanya menitip pesanan penuh makna.

– MHE TV

Iklan