Jerry merupakan antara peserta Malaysian Idol musim pertama.

Pernah menganggotai duo Ardzuna suatu ketika dahulu, pendatang baharu seni suara, Jerry Zakaria kembali mewarnai dunia muzik secara solo dengan mempertaruhkan debut berjudul Jurang.

Menafikan berselisih faham dengan rakan duetnya, Didie Mokhtar, anak kelahiran Terengganu yang membesar di Dungun itu tekad meneruskan kerjaya nyanyian biarpun kini bersendirian.

“Hubungan kami tiada masalah, masih berkawan baik seperti biasa. Pengundurannya adalah disebabkan urusan peribadi, bukannya kerana sengketa.

“Didie sudah berumah tangga dan dikurniakan anak, jadi dia punyai komitmen terhadap keluarganya di samping memiliki pekerjaan tetap,” jelas pemilik nama penuh Zamari Zakaria itu.

Berbicara mengenai Jurang hasil nukilan Omar K dan Ikhwan Fatanna, bekas peserta Malaysian Idol musim pertama itu optimis karya kolaborasi dua komposer hebat tersebut mampu mencipta kejutan apabila bersatu dengan vokal padu miliknya.

“Tak keterlaluan, lagu ini berpotensi mara ke Anugerah Juara Lagu akan datang, sekali gus memenuhi impian saya untuk beraksi di pentas keramat tersebut.

“Awalnya, lagu ini dibuat untuk penyanyi lain tetapi dia alami kesukaran untuk menyanyikan bahagian bernada tinggi.

“Selepas Omar mendengar julat vokal saya, dia percaya dengan bakat serta kemampuan saya untuk mencapai nada yang diinginkannya,” tambah Jerry.

Antara teman yang hadir ke majlis pelancaran single Jurang baru-baru ini.

Ibarat bulan jatuh ke riba, Jurang kemudian beralih ke tangan Jerry setelah sepakat untuk membenarkannya merakamkan lagu berkenaan.

“Penantian selama ini demi sebuah karya berkualiti akhirnya berbaloi kerana Allah datangkan dua karyawan ternama untuk membantu saya. Syukur, Alhamdulillah,” lafaznya berkongsi rasa bangga dan teruja.

Jerry pada masa sama turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Moningstar Entertainment yang gigih berusaha merealisasikan hasratnya bekerjasama dengan komposer hebat. – MHE TV

Iklan