Menyentuh soal karakter Ismail Izzani, 19, diakui bahawa tatasusilanya amatlah menyenangkan selain mudah bekerjasama dengan semua pihak sama ada petugas media ataupun peminat.

Namun apabila muncul gosip mendakwa penyanyi remaja berkenaan mempunyai video ‘panas’ melakukan aksi lucah, banyak pihak mula ragu-ragu dengan personalitinya yang disifatkan tidak bermasalah itu.

Menjawab spekulasi liar tersebut, anak kepada penyanyi popular Datin Suliza Salam itu ketika dihubungi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa wujudnya video yang kononnya dia sedang beronani dalam tandas.

“Selepas klip video individu mirip Aiman Tino disebarkan sebelum ini, saya tidak pasti musabab saya pula dijadikan sasaran pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

“Jika benar video dimaksudkan itu wujud, segera tunjukkan sebab saya teruja nak tengok. Kenapa sekadar sebarkan syot layar (screen shot) semata-mata?

“Bahkan, saya yakin peminat di luar sana pun mahu menontonnya demi mengetahui kebenaran di sebalik dakwaan tersebut!” katanya melaung cabaran kepada penyebar.

Mengakui tuduhan terhadapnya itu merupakan satu bentuk fitnah, bagaimanapun Ismail atau Ismail Izzani Zainal Nazeri enggan mengambil tindakan keras atas penyebaran video tersebut kerana beranggapan hal itu bukan masalah besar.

“Pun begitu, saya perlu ambil langkah untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang kerana orang berniat jahat sentiasa ada di sekeliling kita tanpa disedari.

“Sejak zaman dulu, dah pernah timbul kontroversi sebegini. Apatah lagi era moden sekarang ni, pelbagai perkara tak diduga boleh terjadi selagi ada manusia berhasad dengki,” katanya menamatkan perbualan. – MHE TV

Iklan