Sebuah kenderaan jenis Proton Gen 2 dipandu oleh seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah telah melanggar dua anggota polis sebelum bertindak meninggalkan isteri yang sarat mengandung.

Dalam kejadian di Persiaran Kuala Selangor Seksyen 15, Shah Alam kira-kira pukul 10.45 pagi tadi, suspek dan isterinya berusia 22 tahun didapati telah memotong barisan sebelum memecut laju dan melanggar sekatan jalan raya.

Akibat rempuhan itu, dua anggota terlibat dikenali Hasnol,55, cedera di seluruh badan manakala rakannya, Ahmad Haizaki, 35, cedera di kaki kiri. Kedua-dua anggota berkenaan sedang mengadakan sekatan jalan raya di lokasi kejadian.

Suspek akhirnya berjaya ditahan di Bulatan Andalas Seksyen 18 oleh beberapa anggota lain mengejar kenderaan yang dipandu suspek sejauh tiga kilometer, dedah Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menerusi satu kenyataan.

Jelasnya lagi, suspek kemudian bertindak meninggalkan isteri yang sarat mengandung tujuh bulan di dalam kereta untuk melarikan diri namun berjaya diberkas.

Tambah Baharudin, suspek mengaku memandu di bawah pengaruh dadah jenis syabu dan didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Hasil siasatan lanjut, suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan.

Susulan itu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah 1952.-MHE TV

Iklan