Menafikan golongan penyanyi rap sebagai kelompok yang suka memberontak, pendatang baharu industri muzik tanah air, Abu Bakar Xli, 23, enggan komuniti tersebut dipandang negatif oleh masyarakat.

Berbicara lanjut, anak jati Perak itu menegaskan bahawa setiap lirik yang dituturkan oleh penyanyi rap adalah luahan hati terhadap sesuatu isu bagi menuntut hak yang dinafikan.

“Sebagai penyanyi rap, kami bukannya bodoh nak memberontak tanpa sebarang sebab.

“Kebanyakan penyanyi rap yang ada boleh menghasilkan lagu yang bagus dan berkualiti. Di situ sahaja kita boleh lihat betapa bijaknya mereka,” ujarnya ketika hadir ke pejabat MHE TV bagi menjayakan program Dari Tingkat 10.

Abu Bakar Xli dinamakan sebagai seorang rapper muda berpotensi besar oleh Altimet.

Sementara itu, dia yang mesra disapa sebagai Abu memberitahu, penyanyi rap mewakili suara komuniti tertentu untuk menyuarakan sesuatu pendapat dalam medium muzik agar proses itu lebih mudah diterima oleh pihak berwajib.

“Jika dilihat sejarah muzik hip hop yang berasal dari Afrika, penyanyi rap menuntut hak mereka yang dinafikan oleh golongan penindas,” ujarnya.

Abu merupakan penyanyi rap baharu yang mula dikenali setelah Altimet menamakannya sebagai seorang rapper berpotensi besar untuk mara lebih jauh dan mempunyai single berjudul In Case. – MHE TV

Ruang komen
Iklan