Berita hubungan cinta pasangan penyanyi muda Kang Daniel dan Jihyo (Twice) yang tersebar baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Dispatch adalah media pertama yang menyiarkan beberapa foto mesra pasangan kekasih itu pada 5 Ogos lalu. Namun berita itu sebenarnya telah ditulis sejak 20 Julai lalu.

Justeru ada yang mendakwa Kang Daniel membayar media tersebut sebagai memujuk mereka untuk menunda penerbitan sekaligus sebagai strategi untuk melariskan jualan album.

Kononnya seorang wartawan media tersebut telah mengaku, pihak mereka sengaja menunda penerbitan berita itu selepas mempertimbangkan mengenai debut bekas anggota Wanna One ini yang dilancarkan pada 25 Julai lalu.

Pendedahan itu mula menjadi bualan hangat warganet ekoran satu hantaran dimuat naik dalam web komuniti, Pann yang tajuknya berbunyi, “Kang Daniel berpakat dengan media untuk menerbitkan berita percintaannya selepas pelancaran album”.

Pada 1 Ogos lalu, Kang Daniel mengadakan acara fansign, jadi mereka menunda penerbitan pada 2 Ogos.

Bagaimanapun media itu merasakan impaknya mungkin akan kurang memandang peminat masih memperkatakan tentang acara itu. Akhirnya mereka memilih 5 Ogos untuk menerbitkan artikel tersebut.

Pun begitu, sebahagian peminat tetap membela penyanyi kesayangan mereka ini dan menyifatkan tuduhan itu tidak masuk akal.

“Kalau dia benar-benar menganggap peminat sebagai ‘mesin ATM’, dia akan menjual albumnya dalam beberapa versi, bukan hanya satu versi.

“Sudah tentu peminat akan tetap membeli album dia walaupun mereka tidak mempunyai banyak duit.

“Tetapi Kang Daniel memberitahu, tidak mengapa jika tidak membeli album kerana mendengar lagunya saja sudah memadai,” bela seorang warganet.

“Serius, saya rasa Pann sudah gila! Kalian cuma mengambil tangkapan layar dari sebuah artikel dan menganggap ia fakta. Kalian sepatutnya tidak menyebarkan informasi palsu,” kata seorang lagi peminat. – MHE TV

Iklan