Aprena Manrose di sisi ayahnya, Iwan Syahman, penyanyi dangdut popular era 90-an.

GARA-GARA memuat naik sekeping foto bersama ayahnya, Aprena Manrose, 26, menerima pelbagai reaksi daripada peminat yang mengikuti laman Instagram miliknya.

Selain ramai yang terkejut apabila mendapat tahu Aprena atau Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman adalah anak kepada penyanyi dangdut popular, Iwan Syahman, terdapat juga pengikut yang mencemuhnya.

Ini kerana, penampilan Aprena yang tidak bertudung malah mewarnakan rambutnya dikatakan tidak sesuai dengan ketrampilan Iwan yang kini berimej warak.

Antara komen yang ditinggalkan berbunyi amat prejudis, sekali gus terlalu kasar untuk dibaca mahupun didengar oleh sesiapa.

“Kasihan Iwan kena heret dengan anak sendiri ke neraka sebab tak menjaga auratnya,” memetik salah satu komen yang ditulis pengikutnya.

Walaupun pengikutnya itu sekadar mahu menegur, namun teguran tersebut dilihat oleh sesetengah individu lain sebagai satu tindakan yang salah.

“Hendak menegur tak salah, tetapi ada cara lebih berhemah supaya tidak mengguris hati sesiapa,” balas salah seorang pengikutnya.

Biarpun perbalahan dalam kalangan pengikutnya panjang berjela-jela, pun begitu tidak kelihatan komen balas daripada Aprena sendiri.

Apapun, diharap pelakon yang bakal muncul dengan filem Jodoh Syaitan itu tenang-tenang sahaja dan menganggap setiap kritikan sebagai satu pengajaran yang mampu mendewasakannya kelak. – MHE TV

Iklan