Bergelar artis mahupun selebriti dalam industri seni tanah air pada hari ini, perlu memiliki ketahanan mental serta kesabaran yang cukup tinggi.

Apa tidaknya, keterbukaan media sosial yang membuka peluang kepada netizen di luar sana untuk mengkritik dan memberi kecaman mampu ‘membunuh’ secara senyap terhadap mental artis

Pernah menerima pelbagai kecaman dan kritikan daripada netizen pada peringkat awal pembabitannya dalam dunia hiburan, Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil ini menganggap segala yang buruk berlaku dalam hidupnya memberikan hikmah tertentu.

Rasa bertuah kerana dikelilingi ahli keluarga dan kawan-kawan rapat yang memahami, Sissy tidak mahu kepercayaan yang diberikan kepadanya disalah guna begitu sahaja.

Ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Perguruan Kelas Pertama dalam bidang Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras ini, dia menganggap ‘teguran’ yang diterima daripada netizen adalah ‘bantuan’ secara tidak langsung untuk seseorang artis itu berjaya menghadapi cabaran dalam dunia seni tanahair.

“Sebenarnya, teguran itu membantu. Pernah orang dalam industri beritahu saya iaitu kita rasa ramai orang benci kita sebenarnya ramai sayang, begitulah juga sebaliknya bila ada ramai orang sayang kita, ramai juga orang yang benci.

“Perkara tu seimbang la, jadi dalam hidup ni kita kena berhati-hati bila bab tu. Kena sentiasa berwaspada.

“Apa perkara yang paling penting ialah, jadi diri sendiri saja. Sebenarnya kita menjadi kecewa apabila kita terlalu ikut apa yang orang nak.

“Contohlah netizen nak kita berpakaian seperti sekian-sekian tapi sedangkan kita belum pun sampai ke tahap seperti yang mereka nak.

“Jadi kita memaksa diri lebih dari sepatutnya dan apabila dikecam kerana itu, kita pula jadi sakit hati. Jadi pada saya, kecewa itu datang apabila kita cuba menjadi ‘somebody we are not’,” kata Sissy yang turut terlibat dalam dunia pengacaraan bagi program Extra Lawak dan Big Stage Life Plus.

Iklan