Datuk Jalaludin Hassan memang dikenali sebagai seorang yang romantik dan juga bersifat ‘soft-spoken’ di dalam mana-mana drama yang dilakonkannya.

Namun tidak ramai yang mengetahui pelakon yang terkenal dengan rancangan Who Wants to Be a Millionaire? ini memiliki suara yang merdu sebagai penyanyi!

Seringkali mendendangkan lagu pada majlis-majlis yang dihadirinya, suara pemenang Anugerah Seri Angkasa bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik ini, memukau mereka yang mendengarnya.

Jalaludin yang ditemui MHE TV sewaktu majlis pelancaran baju Melayu Minaz di pusat membeli-belah IOI, Putrajaya, memberitahu dia tidak pernah merasakan dirinya adalah seorang penyanyi.

“Ada juga yang bertanyakan jika saya berminat untuk keluarkan lagu single, tapi pada saya rasa macam dah terlambat pun ada. Yelah, umur saya sudah menjangkau usia 65 tahun.

“Antara tawaran yang saya terima ialah daripada komposer S. Atan. Dia sendiri datang dan beritahu akan buat lagu yang ala-ala Broery Marantika atau pun lagu genre romantik.

“Kiranya lagu yang S.Atan buat tu kenalah dengan genre yang saya boleh bawa. Insya-Allah, kita tengoklah hasilnya macam mana selepas raya ini,” katanya.

Jalaludin bersama isteri yang kini bertanggungjawab menguruskan jadual seninya. 

Ujar Jalaludin lagi, dia turut menerima tawaran untuk merakam lagu daripada kawan komposernya yang berbangsa Cina.

“Komposer ini kawan saya. Dia selalu juga bertanya bila saya mahu merakamkan lagu dengan dia. Namun saya masih belum buat keputusan kerana mungkin kerana faktor umur jugalah.

“Tetapi dengan semangat yang diberikan tu, mungkin boleh cuba untuk dijadikan sebagai kenangan dalam hidup saya. Tengoklah macam mana,” jelas Jalaludin. – MHE TV

Iklan