Kemelut rumah tangga pelakon popular Sharnaaz Ahmad dan isterinya, Noor Nabila Mohd. Noor masih belum menemui jalan noktah apabila Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur sebentar tadi memerintahkan kedua-dua pihak perlu menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Hakim Syarie Ahmad Mutaqqi Ismail memutuskan demikian selepas Sharnaaz, 34, selaku defendan tidak bersetuju dengan penceraian yang difailkan Noor Nabila, 34, selaku plaintif pada 27 Ogos lalu mengikut Seksyen Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Sharnaaz yang ditemui selepas tamat prosiding, memberitahu dia ingin menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan cara yang baik melalui JKP.

“Niat saya hendak mencari pendamaian dan jalan penyelesaian yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Reda atau tidak, kita ada mahkamah dan kita perlu hadap benda itu. Kalau mahkamah sudah perintah untuk JKP, maknanya kita perlu ikut prosedur yang telah ditetapkan. Kenapa kahwin elok, nak cerai gaduh-gaduh,” luahnya.

Terdahulu semasa prosiding, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak bersetuju dengan penceraian termasuk tuntutan yang dikemukakan Nabila.

Difahamkan antara alasan tuntutan penceraian itu ialah sudah tidak wujud lagi persefahaman antara mereka, defendan memberikan nafkah zahir yang tidak cukup hanya RM500 sebulan walaupun berkampuan dan defendan berterusan dengan sikapnya.

Bagaimanapun peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakli Nabila memaklumkan bahawa anak guamnya sudah tidak tinggal bersama dengan plaintif sejak Februari tahun lalu selain turut mempertikaikan kenyataan yang dibuat Shaenaaz yang dibuat dalam media sosial.

“Sebelum ini dalam media sosial defendan (Sharnaaz) sudah bersetuju untuk bercerai namun hari ini (di mahkamah) lain pula,” kata Azmi.

Ahmad Mutaqqi yang mendengar perkara itu kemudian memberitahu, mahkamah hanya mendengar segala keputusan dan hanya mengambil kira apa yang berlaku pada prosiding kes.

Berikutan itu mahkamah menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes dan lantikan JKP.

Sementara itu, Noor Nabila pula memberitahu dia tidak boleh mengulas lebih lanjut berkenaan dengan tuntutan cerai yang dibuatnya telah ditolak suaminya.

Bagaimanapun, kakak kepada selebriti terkenal Noor Neelofa ini memberitahu dia hanya ingin fokus membesarkan dan memberikan kasih sayang kepada anaknya, Jebat Jayden.

Pada 31 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan teka-teki status perceraian pelakon Sharnaaz terjawab apabila, Noor Nabila mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya.

Spekulasi rumah tangga pelakon filem Juvana itu kembali hangat diperkatakan ramai selepas Nabila memuat naik gambar hadapan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menerusi Insta Storynya beberapa jam lalu.

Sekitar Februari lalu, rumah tangga pasangan yang berkahwin itu pernah dilanda kontroversi selepas mereka sering memuat naik kata-kata sedih dalam laman sosial Instagram masing-masing.

Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan itu semakin rancak menjadi bahan bualan selepas mereka didakwa sempat menghadiri kaunseling di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Namun baik Sharnaaz mahupun Nabila, kedua-duanya tidak pernah membuka mulut untuk memberikan justifikasi terhadap status sebenar perkahwinan mereka.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017
di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia setahun.

Iklan