Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan hari ini sedang berusaha untuk melaksanakan subsidi petroleum bersasar buat isi rumah berpendapatan rendah (B40), seperti yang termaktub dalam manifesto PRU ke-14, lalu.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu itu berkata, kerajaan tetap komited dalam mencari kaedah pelaksanaan yang lebih berkesan namun pada masa sama tidak menjejaskan sebarang implikasi kewangan kepada negara.

“Memang manifesto kerajaan HARAPAN untuk laksanakan subsidi bersasar petrol. Rata -rata rakyat Malaysia menggunakan lebih kurang 1.2 bilion liter petrol sebulan, berbanding hanya 10 peratus yang menggunakan RON97.

“Menjadi hasrat kami untuk melaksanakan subsidi bersasar, jika bawa kereta mewah tidak lagi merasa harga RM2.20 seliter, kita akan bagi kepada golongan B40,” katanya dalam ucapan di Majlis Perjumpaan bersama-sama NGO Kepenggunaan 2018 di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR berkata, perbincangan mengenai perkara tersebut masih di peringkat awal dan kaedah pelaksanaan juga masih belum diputuskan.

Kita nak bawa keluar idea ini kepada perbincangan saya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kami seterusnya akan berbincang dengan pegawai kami dan melihat beberapa aspek penting yang boleh diketengahkan.

“Selepas itu diharapkan kami boleh merangka mekanisme pelaksanaannya.

Katanya lagi, antara kriteria kelayakan yang mungkin diterapkan adalah jumlah pendapatan isi rumah dan jenis kenderaan jika ada yang mempunyai lebih daripada sebuah kenderaan.- MHETV

Iklan