Kerajaan Kelantan ditempelak kerana belum mengambil sebarang tindakan terhadap Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 34 atau Nur Sajat yang menghadiri ekspo jualan yang diadakan di negeri tersebut pada Ahad lalu dengan mengenakan pakaian wanita.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Mohd. Romizu Mohd. Ali menjelaskan, tindakan perlu diambil ke atas Sajjad sebagai pengajaran agar tidak melakukan kesalahan sama pada masa depan.

“Seperti sedia maklum, Kelantan dikenali sebagai sebuah jajahan yang mempraktikkan corak pentadbiran Islam dan perkara sebegini tidak boleh dipandang sebelah mata.

“Walaupun Sajjad turut bertudung, tetapi tindakan usahawan itu tetap tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan prinsip serta dasar Kerajaan Kelantan,” katanya memberi penegasan.

Justeru, mewakili Pemuda PAN Kelantan, Mohd. Romizu mahu Kerajaan Pas negeri itu mengambil tindakan setegas-tegasnya terhadap usahawan kosmetik terkenal berkenaan.

“Antaranya ialah menyaman Sajjad kerana melanggar peraturan dan syariah serta melarang lelaki itu daripada memasuki semula negeri ini,” jelasnya memberi cadangan.

Selain Sajjad, usahawan selebriti Aliff Syukri turut berada di Mood Republik Kelantan 2019.

Mengulas lanjut, Mohd. Romizu memberitahu, pihak penganjur program yang menjemput Sajjad juga perlu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran dan melakukan kesalahan sama pada masa depan.

“Jika kerajaan negeri mengambil sikap berdiam diri, ini seolah-olah mereka menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)

“Sebelum ini saya lihat Kerajaan Pas Kelantan cukup lantang menolak LGBT, namun dalam isu Nur Sajat, tiada pula sebarang tindakan diambil,” ujarnya.

Ahad lalu, Sajjad merupakan antara selebriti yang membuka gerai jualan produknya menerusi penganjuran Mood Republik Kelantan 2019. – MHE TV

Iklan