Kerajaan sama sekali tidak berhasrat untuk menghapuskan perkhidmatan e-hailing, namun akan memastikan ianya beroperasi tanpa sebarang kelebihan berbanding perkhidmatan teksi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata perkhidmatan e-hailing telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia dan ia mempunyai potensi yang tersendiri dalam menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.

“Pada dasarnya kita tidak boleh menghapuskan e-hailing, dasar kita adalah untuk menyamaratakan peluang perniagaan oleh pengusaha teksi dan e-hailing seperti Grab dan Uber,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan akan menghapuskan e-hailing susulan rungutan pengusaha teksi terhadap perkhidmatan itu.

Kamarudin berkata, kementeriannya telah menetapkan syarat-syarat yang sama seperti pengusaha teksi kepada syarikat e-hailing untuk mereka beroperasi seperti pendaftaran dan pemeriksaan kenderaan.

Namun, katanya, perkara itu dilaksanakan secara berperingkat memandangkan jumlah pengusaha e-hailing di negara ini telah mencecah lebih 600,000 orang.

Dalam pada itu, ditanya pandangannya berhubung tindakan biadap sekumpulan pemandu teksi di Langkawi baru-baru ini beliau menegaskan perkara tersebut amat memalukan dan sama sekali tidak harus berlaku.

“Saya yakin perdana menteri mengambil berat tentang kebajikan keseluruhan penduduk di Langkawi, sebab beliau turut menyebut mengenai kebajikan penduduk Langkawi dalam mesyuarat kabinet.

“Pada saya, tindakan seperti mengeluarkan kata-kata kesat, kepada seorang pemimpin negara seperti Tun Dr Mahathir yang mengambil berat mengenai kebajikan penduduk Langkawi tidak seharusnya berlaku.- MHETV

Iklan