Penyanyi nombor satu Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 40, menerima anugerah Best CSR Campaign sempena Watsons HWB Awards 2019 yang berlangsung pada malam tadi di Hotel W, Kuala Lumpur.

Siti memenangi anugerah tersebut melalui syarikat produk kosmetik miliknya, SimplySiti yang telah menganjurkan kerja amal dengan kempen SimplySiti Di Hati.

“Saya berterima kasih kepada pihak Watsons Malaysia kerana memberi anugerah ini di mana ia dinilai berdasarkan prestasi jenama di Watsons.

“Anugerah ini juga sangat bermakna kerana ia merupakan penghargaan yang tinggi untuk SimplySiti bergerak maju dan berdaya saing setanding jenama antarabangsa lain.

“Ini juga merupakan hadiah untuk semua pengguna produk ini yang selama ini menyokong dan setia bersama jenama SimplySiti,” katanya ketika dihubungi.

Pencapaian Siti yang sering melakukan kerja amal dan mahu memberi semula kepada masyarakat harus dicontohi oleh usahawan-usahawan yang lain.

Sebelum ini, SimplySiti sudah banyak memenangi anugerah di Watsons HWB Awards yang merupakan acara tahunan.

Antara anugerah yang pernah dimenangi adalah Best Halal Brand Launch (2010), Best Entrapreneur Of The Year (2012), Best Fragrance (2014), Best Brand Collaboration (2017) dan banyak lagi.

SimplySiti adalah syarikat produk kosmetik dan kecantikan yang diasaskan Siti pada 30 Mac 2010. – MHE TV

Iklan